Penduduk Gempar Temui Ikan Patin 150Kg

PENDUDUK Kampung Binjai Jejawi, Lubok Jong dekat Pasir Mas, gempar selepas menemui ikan patin seberat 150 kilogram (kg) di Sungai Lubok Jong, pagi hari ini.

Ikan berkenaan yang sudah mati tersangkut pada candik atau sauk ditahan seorang penduduk kampung dikenali sebagai Jali, 50, dan ditemui pada 10 pagi.

Penduduk kampung, Hassan Yusoff, 63, berkata Jali terkejut apabila melihat candik ditahannya malam tadi terkena ikan patin besar sebelum meminta bantuan penduduk lain untuk mengangkatnya.

Katanya, mereka membawa pulang ikan itu ke rumah sebelum penemuan ikan itu menjadi heboh pada 11 pagi.

“Ikan patin itu ditimbang terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada penduduk kampung dan sebahagiannya dijual.

“Ikan berkenaan sangat besar dan memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang untuk mengangkatnya.

“Ini penemuan kedua ikan patin besar terkena candik penduduk selepas yang pertama September tahun lalu dan seberat 150kg,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ikan patin itu muncul kemungkinan pada masa ini proses kerja menggali dan mencuci sungai sempena menghadapi musim banjir sedang giat dijalankan.

Katanya, penemuan ikan itu memberi rezeki kepada penduduk kampung berkenaan. – myMetro Online

Loading...