Penduduk Flat Uda Fasa 2 Lega Lif Rosak Akan Dibaiki

GEORGE TOWN – Penduduk Flat Uda Fasa 2, kini boleh menarik nafas lega apabila masalah lif rosak yang membelenggu sejak bertahun lamanya kini akan dibaiki dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata Kerajaan Negeri maklum akan masalah yang dihadapi oleh penduduk flat berkenaan ekoran tiada tindakan lanjut diambil daripada pemaju Uda Holdings Berhad walaupun aduan telah dibuat oleh penduduk.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan kos penyelenggaraan bagi dua buah lif yang rosak itu sebanyak RM175,000 iaitu 80 peratus (RM140,000) daripada Tabung Maxima manakala bakinya RM35,000 disumbang oleh pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah,” katanya pada sidang media di flat berkenaan, di sini hari ini.

Beliau berkata peruntukan itu diluluskan dan kini menanti proses penyelenggaraan yang akan dibuat dalam masa terdekat dan berharap bantuan itu dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh penduduk di sini sejak sekian lama,” katanya.

Jagdeep berkata Kerajaan Negeri turut menyumbang lapan buah kamera litar tertutup (CCTV) di flat berkenaan dengan kos sebanyak RM4,850.

Seorang penduduk flat itu, Teoh Eng Keong, 64, berkata masalah lif rosak berkenaan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk terutamanya membabitkan pengguna warga emas dan kanak-kanak.

“Ada dalam kalangan penduduk di sini warga emas, malah kanak-kanak juga ada guna (lif). Jadi, kita tak mahu kejadian terperangkan di dalam lif ini berulang lagi,” katanya yang pernah terperangkap di dalam lif itu sebanyak enam kali.

Pengerusi Persatuan Penduduk flat itu, Abd Hamid Ibrahim pula berkata antara masalah yang dihadapi penduduk flat itu ialah pili bomba, tangki air berkarat dan saluran sampah rosak.

“Buat masa ini kita tumpukan masalah lif dahulu kerana itu adalah fokus utama dan berharap kerja baik pulih dapat dilaksanakan secepat mungkin, kalau boleh sebelum sambutan Tahun Baru Cina ini,” katanya. – BERNAMA

Loading...