Penderma Misteri Serahkan Barangan Berjenama £500,000

LONDON – Seorang penderma misteri telah menyerahkan barang berjenama dianggarkan yang bernilai £500,000 (RM2.63 juta) kepada sebuah kedai amal dalam talian di sini.

Ia termasuk 150 pakaian, dan 75 barang kemas bernilai £6,000 (RM31,600) membabitkan jenama fesyen terkenal seperti Gucci, Alexander McQueen, Emporio Armani, Stella McCartney dan Victoria Beckham.

“Kami terkejut menerima sumbangan begitu banyak barang berjenama. Kami berjaya menjual beg tangan Louis Vuitton daripada penderma misteri itu dalam masa beberapa minit selepas diiklankan,” kata pengasas Thrift+, Joe Metcalfe.

Thrift+ mendermakan separuh daripada hasil jualannya kepada badan dan aktiviti amal sementara penderma yang berdaftar akan menerima 25 peratus hasil jualan. Laman web itu menjual barang berharga serendah £19 (RM100).

Penderma itu tidak meninggalkan maklumat mengenai dirinya menyebabkan sebanyak 75 peratus hasil jualan akan disalurkan kepada Dress For Success, badan amal untuk membantu wanita yang bersedia untuk temu duga kerja. – Agensi

Loading...