Pendeposit TH Diminta Kemas Kini Maklumat Peribadi

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) meminta pendeposit mengemas kini maklumat peribadi masing-masing sekiranya terdapat sebarang perubahan pada alamat, nombor telefon dan penamaan waris. 

Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata ini bertujuan memudahkan pihak TH menghubungi pendeposit serta mengelakkan kes surat tawaran haji tidak diterima kerana bertukar alamat. 

“Pihak kami akan mengeluarkan surat tawaran haji bagi tahun 1442H/2021M sebaik sahaja menerima ketetapan daripada kerajaan Arab Saudi.

“Kami masih belum menerima sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan perincian musim haji tahun 1442H/2021M,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pendeposit dan bakal haji digalakkan mendaftar aplikasi perkhidmatan THiJARI di pautan www.thijari.com.my bagi menyemak pendaftaran haji, surat tawaran haji, jadual penerbangan serta perkhidmatan lain seperti urusan pindahan simpanan, semakan baki dan sebagainya.

“Pendeposit boleh mengemas kini di mana-mana pejabat cawangan TH, Pusat Perkhidmatan TH dan Pusat Transformasi Bandar (UTC). 

“Kami berharap semua pendeposit memberi perhatian dan melakukan kemas kini maklumat peribadi masing-masing dengan segera agar sebarang penyaluran makluman penting dan terkini oleh TH sentiasa diterima,” katanya. – BH Online