Pendekatan Mungkin Diubah Untuk Capai Sasaran PPPM 2015-2025

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan mengubah program dan aktiviti yang dilaksana di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 untuk mencapai sasaran ditetapkan, jika keadaan memerlukan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata perubahan itu mungkin perlu dilakukan selepas selesai semakan separuh penggal oleh kementerian.

“Dari segi pelaksanaan, PPPM 2015-2025 masih menjadi dasar utama kementerian tetapi sekiranya ada jurang dan (apa-apa perkara) tidak relevan dengan sasaran asal, ia perlu diubah,” katanya.

Teo menjawab soalan tambahan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) yang ingin tahu sama ada kementerian itu masih menggunakan PPMM 2015-2025 sebagai panduan utama dalam menentukan pencapaian pendidikan negara.

Menurut Teo, selain mengutamakan ranking sebagai ukuran dalam menentukan tahap pendidikan negara, kementerian itu juga menggunakan penilaian aspek lain seperti akses, ekuiti, kualiti, perpaduan dan kecekapan.

Katanya pendidikan berkualiti perlu turut dirasai golongan seperti isi rumah berpendapatan rendah (B40), Orang Asli dan orang kurang upaya yang layak. – BERNAMA

Loading...