Pendekatan Hudud Di Malaysia Berbeza

KUALA LUMPUR – Pendekatan pelaksanaan hudud di Malaysia tidak sama seperti Brunei berdasarkan kandungan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 yang dibawa PAS dulu.

Profesor Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pendekatan di bawah RUU355 ialah mempertingkatkan hukuman sedia ada oleh mahkamah syariah iaitu dari aspek hukuman penjara, denda dan rotan.

“Jadi tidak timbul isu melaksanakan hukuman hudud seperti di Brunei di Malaysia. Dalam konteks hukuman hudud itu sendiri jika boleh dilaksanakan di Malaysia seperti di Brunei pada pandangan saya mungkin mempunyai pendekatan berbeza. Misalnya ia hanya akan terpakai kepada orang Islam dan tidak kepada bukan Islam,” katanya.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula berkata, RUU355 masih belum diluluskan oleh kerajaan Malaysia.

“RUU355 masih belum diterima oleh kerajaan Malaysia, kalau dah terima mungkin Malaysia boleh ikut jejak langkah Brunei.

“Jadi tidak relevan untuk bercakap soal Malaysia sedia untuk implementasi hukuman rejam seperti di Brunei,” katanya. – Sinar Harian

Loading...