Pendapatan Suku Pertama KWSP Menyusut

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih jumlah pendapatan pelaburan yang lebih rendah sebanyak RM9.66 bilion untuk suku tahun pertama tahun ini berbanding RM12.88 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Meskipun susut, prestasi yang dicatatkan oleh KWSP itu adalah baik mengambil kira keadaan ekonomi dan pasaran dunia serta domestik semasa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Pelaburan), Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, bagi suku pertama tahun ini yang berakhir pada 31 Mac lalu, ekuiti yang merangkumi 39 peratus daripada jumlah keseluruhan aset pelaburannya terus menjadi penyumbang utama pendapatan sebanyak RM4.16 bilion, iaitu 43 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan untuk suku tahun ini.

Menurutnya, turun naik pasaran kelas aset ekuiti serta impaknya ke atas pendapatan telah disokong oleh kumpulan aset KWSP lain yang lebih stabil seperti pendapatan tetap.

“Walaupun ekuiti bersifat turun naik, ia mempunyai potensi untuk memberikan pulangan yang lebih tinggi dalam jangka panjang. Ekuiti akan sentiasa memainkan peranan penting dalam meningkatkan pulangan dan memastikan kami berupaya memberikan dividen sekurang-kurangnya 2 peratus melebihi kadar inflasi,” katanya di sini.

Sebanyak 50 peratus pelaburan aset KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap, yang terus menyumbang pendapatan yang stabil dan konsisten.

Suku tahun pertama menyaksikan pelaburan pendapatan tetap mencatatkan pendapatan sebanyak RM4.85 bilion, iaitu 50 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahun.

Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf dalam S1 2019 adalah sebanyak RM2.52 bilion, manakala Pinjaman dan Bon menjana sebanyak RM2.33 bilion pendapatan pelaburan.

Dalam tempoh tersebut, hartanah dan infrastruktur merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM171.60 juta.

Pelaburan dalam instrumen pasaran wang, yang mewakili 6 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan, menyumbang RM469.86 juta kepada pendapatan pelaburan.

“Pelaburan dalam kelas aset ini, yang termasuk deposit tetap dan deposit berjangka, berperanan penting dalam memenuhi keperluan kecairan jangka pendek KWSP,” katanya.

Sebanyak RM0.90 juta daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar RM9.66 bilion dijana untuk Simpanan Syariah, manakala RM8.76 bilion untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya hanya melalui bahagian portfolio Syariah, manakala pendapatan
untuk Simpanan Konvensional dijana oleh bahagian portfolio Syariah dan portfolio konvensional.

Mengulas prospek untuk tahun ini, Mohamad Nasir menjangkakan pasaran global akan kekal tidak menentu berikutan sentimen yang didorong oleh perang dagang antara AS dan China yang semakin meruncing.

Risiko geo-politik dan ketidaktentuan berikutan hala tuju polisi bank-bank utama akan memberikan tekanan lebih ke atas ekonomi dunia dalam beberapa bulan akan datang, tambah beliau lagi.

“Seperti perniagaan yang lain, pelaburan KWSP akan terkesan oleh risiko-risiko ini. Walau bagaimanapun, kami mempunyai Alokasi Aset Strategik sebagai panduan.

“Kami akan memberi tumpuan dalam memenuhi 10 peratus peruntukan untuk pelaburan hartanah dan infrastruktur sebagai antara pelan diversifikasi kami serta menyalurkan lebih banyak tunai ke dalam aset alternatif untuk meningkatkan pulangan,” ujarnya.

Beliau menambah, langkah Bank Negara untuk mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) dijangka akan memberikan impak positif kepada ekonomi dan membantu mengurangkan sebarang kemerosotan ekonomi.

“Kami optimistik dalam memberikan dividen sebenar tidak kurang daripada 2 peratus untuk tiga tahun berturut-turut. Kemerosotan ekonomi mempunyai kelebihannya kerana ia memberi peluang kepada kami untuk membeli saham kukuh pada harga yang lebih menarik,” katanya.

Loading...