Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Vape: Individu Pertama Didakwa...

SEORANG peniaga berusia 27 tahun menjadi individu pertama di Kelantan yang didakwa di...

Mangsa Banjir Di Pahang...

KUANTAN - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang berkurangan...

Polis Mohon Sambung Reman...

SABAK BERNAM – Polis akan membuat permohonan lanjutan reman ke atas seorang lelaki...

27 GRO, Tukang Urut...

SHAH ALAM - Polis menahan 27 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan...

Pendapatan Pelaburan KWSP Naik 9.2 Peratus

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan pendapatan pelaburan 9.2 peratus kepada RM12.88 bilion dalam suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2018, berbanding RM11.79 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata, walaupun pasaran maju mengalami penurunan dalam suku pertama 2018 berikutan kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada dijangkakan, KWSP mampu mencatatkan prestasi konsisten dalam suku tahun dikaji, didorong oleh pasaran domestik dan ASEAN yang telah mencatatkan pertumbuhan positif.

“Ditambah dengan kepelbagaian dalam pasaran, geografi dan sektor, KWSP dapat mengurangkan impak akibat kejatuhan dalam ekuiti pasaran maju, seterusnya membolehkan kami mengekalkan prestasi yang konsisten untuk kesemua portfolio, di mana ekuiti domestik merekodkan prestasi yang lebih baik berbanding kelas aset lain.

Dalam suku pertama 2018, ekuiti, yang merangkumi 41.59 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP telah menyumbang RM7.93 bilion, mewakili 61.58 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku tahun berkenaan.

Sebanyak 50.53 peratus aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap yang terus memberikan aliran pendapatan yang konsisten dan stabil.

Suku tahun pertama melihat instrumen pendapatan tetap mencatatkan pendapatan sebanyak RM4.76 bilion, bersamaan dengan 36.99 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahunan.

Pendapatan dari Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Bon Sama Taraf meningkat kepada RM2.24 bilion dalam suku pertama 2018.

Pinjaman dan Bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM2.52 bilion manakala pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang, yang mewakili 2.91 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan, telah menyumbang RM292.91 juta kepada pendapatan pelaburan.

Dalam suku tahun yang dikaji, hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan pelaburan negatif sebanyak RM107.38 juta.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang utama yang lain, termasuk ringgit, yang telah memberi kesan terhadap pelaburan itu.

Pendapatan pelaburan negatif yang direkodkan bagi kelas aset berkenaan bagaimanapun dijangka diimbangi oleh aliran masuk pendapatan pelaburan pada suku-suku tahun yang akan datang.

Nilai aset pelaburan KWSP mencecah RM814.38 bilion, meningkat 0.53 peratus atau RM4.25 bilion daripada 31 Disember 2017.

Daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan, RM321.05 bilion, atau 39.42 peratus, dilaburkan dalam aset patuh Syariah manakala selainnya dilaburkan dalam portfolio konvensional.


Sebanyak RM1.22 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar RM12.88 bilion dijana untuk Simpanan Shariah, manakala RM11.65 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional.

Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya hanya melalui bahagian aset patuh Syariah manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional dijana oleh bahagian aset patuh Syariah dan juga aset konvensional.

Selaras dengan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) berkuatkuasa mulai 1 Januari 2018, akan terdapat beberapa perubahan dalam amalan pelaporan kewangan KWSP.

Mengulas lanjut, Shahril Ridza berkata, KWSP sentiasa mengamalkan piawaian yang terkini dan sewajarnya, keuntungan modal atas pelupusan ekuiti berjumlah RM6.19 bilion akan disalurkan kepada keuntungan terkumpul daripada Penyata Pendapatan Komprehensif Lain dan bukan kepada Penyata Untung Rugi seperti amalan MFRS 139 sebelumnya.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan kesan MFRS 9 terhadap kewangan kami adalah minimum. Tambahan lagi, di bawah MFRS9, KWSP tidak akan lagi mengiktiraf apa-apa rosot nilai ke atas pegangan ekuitinya,” katanya.

Setakat akhir Mac 2018, beliau berkata pelaburan asing KWSP, yang merangkumi 27.30 peratus daripada aset pelaburan keseluruhan, telah menyumbang 33.60 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan dalam suku tahun yang dikaji.

“Prestasi pasaran global pada suku tahun semasa dan sehingga akhir tahun ini dijangka tidak menentu dan kami akan kekal berwaspada berikutan kenaikan kadar faedah secara agresif oleh Rizab Persekutuan AS.

“Tekanan dan kelemahan perniagaan global yang semakin meningkat di kalangan negara baru muncul telah mengancam semua pasaran, dan oleh itu, kami lebih waspada terhadap jangkaan pulangan untuk tahun ini.

“Di peringkat domestik pula, kami mengekalkan unjuran positif jangka panjang kerana asas ekonomi Malaysia tetap kukuh meskipun mengalami ketidaktentuan jangka pendek selepas pilihanraya baru-baru ini,” katanya. – myMetro Online

Kategori