Pendakwah Kena ‘Sekat’, Safiey Maaf Main-Main

NAMPAKNYA permohonan maaf usahawan kosmetik kontroversi, Safiey Illias seakan tiada makna selagi gambar-gambarnya berpakaian menyerupai wanita tidak dipadam menerusi laman sosial.

Pendakwah muda, Pencetus Ummah (PU) Amin berkata, kenyataan maaf tersebut dianggap seperti main-main selagi video dan gambar berunsur wanita, pondan dan transgender masih dipaparkan dalam laman sosial Safiey.

Namun apa yang lebih dikesalkan apabila beliau mendakwa bahawa akaun Instagramnya turut telah disekat oleh usahawan popular tersebut sekali gus membuatkan dirinya tidak dapat melihat kemas kini terbaharu oleh Safiey.

“Saya dah kena sekat dengan Safiey, jadi saya tak dapat tengok Instagram dia sekarang.

“Saya harap tuntutan kita yang ketiga untuk dia padam video dan gambar pondan telah dilaksanakan.

“Barulah kita menerima dan faham kenyataan maaf itu,” katanya menerusi posting yang dimuat naik pada Selasa.

Sebelum ini, mStar Online melaporkan usahawan kosmetik tersebut tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu video kontroversi membabitkan dirinya yang tular menerusi media sosial.

Safiey berkata, beliau memohon maaf kepada pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, terutama pengikut laman sosialnya yang beragama Islam dan seluruh rakyat Malaysia.

Pemilik nama sebenar Mohd Saifuddin Ilias ini turut berjanji untuk tidak mengulangi perbuatannya yang mengganggu sensitiviti masyarakat dan mencemarkan kesucian agama Islam.

Setakat ini, tinjauan mStar Online pada akaun Instagram usahawan kosmetik itu, @safieyillias94 mendapati Safiey masih tidak padam kesemua gambarnya yang mengenakan pakaian wanita termasuk digayakan rakan-rakannya.

Kontroversi yang mengaitkan Safiey dan Amin timbul selepas video pengasas produk kecantikan itu tular di media sosial.

Video tersebut memaparkan aksi seorang penyanyi ‘wanita’ yang berkelakuan tidak sopan kepada seorang tetamu lelaki yang dirakam pada majlis pelancaran produknya, Sabtu malam.

Acara kurang sopan itu berlaku selepas majlis terbuka Aidilfitri anjuran Safiey yang dihadiri kira-kira 200 anak yatim dan pelajar tahfiz pada sebelah petang. – mStar Online