Pendakwaan Akan Buktikan Nazrin Dibunuh Sebelum Dibakar

SHAH ALAM – Pihak pendakwaan akan membuktikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Cradle Fund Sdn. Bhd. Nazrin Hassan dibunuh dan bukannya mati akibat kebakaran di bilik tidur di kediamannya di Mutiara Holmes, Mutiara Damansara tahun lalu. 

Dalam ucapan pembukaan yang dibaca oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran di hadapan Hakim Ab. Karim Ab. Rahman sebentar tadi, pasukan pendakwaan akan mengemukakan keterangan melalui saksi bahawa Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki berusia 14 dan 17 tahun terlibat dalam kes pembunuhan itu.

“Pihak pendakwaan juga akan membuktikan melalui keterangan Pakar Perubatan Forensik bahawa kematian si mati disebabkan oleh hentakan benda tumpul di kepala si mati dan hentakan ini adalah secara lazimnya boleh menyebabkan kematian kepada si mati,” katanya.

Pada masa sama, melalui keterangan yang dikemukakan akan menunjukkan bahawa si mati tidak meninggal dunia dalam kebakaran tersebut sebaliknya telah menemui ajalnya sebelum kebakaran itu berlaku.

Kebakaran itu juga sengaja dibuat bagi menyembunyikan punca kematian sebenar si mati.

Justeru pendakwaan kepada Seksyen 34 Kanun Keseksaan bagi menunjukkan niat bersama tertuduh-tertuduh.

Terdahulu semasa membaca ucapan pembukaan itu, Raja Rozela turut mengimbas kembali melalui beberapa fakta kejadian tersebut sehingga menemui jawapan bahawa mangsa mati akibat dibunuh.

Raja Rozela berkata, sebelum Nazrin meninggal dunia, dia tinggal bersama Samirah yang juga tertuduh pertama, dua lagi tertuduh juvana, dua anak kecil dan pembantu rumah bernama Eka Wahyu Lestari di rumah berkenaan.

“Pada 14 Jun 2018 lebih kurang pukul 12.30 tengahari pihak bomba telah menerima maklumat berkenaan kebakaran di tempat kejadian dibilik tidur utama tingkat dua.

“Selepas kebakaran berjaya dipadamkan pihak bomba kemudian telah menemui mayat si mati atas lantai,” ujarnya.

Ekoran kejadian itu, mayat si mati kemudian telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani proses bedah siasat. Hasil bedah siasat itu mendapati mangsa mati akibat complication of blast blunt penetrating injuries.

Katanya, selepas tiga bulan kematian si mati, abang mangsa telah memohon untuk satu lagi bedah siasat kerana percaya adiknya telah dibunuh.

“Bedah siasat kedua kemudian telah dijalankan pada 8 Oktober di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan hasil bedah siasat kedua ini menunjukkan bahawa kematian si mati adalah akibat multiple blunt impacts to head,” katanya lagi.

Samirah, 44, dan dua lagi remaja serta seorang lagi yang masih bebas warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari didakwa dengan niat bersama-sama melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian ke atas Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 13 Jun hingga 14 Jun 2018.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam prosding itu pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah, Ashyraf Ashyari, Noor Mawarni Halim dan Wan Shahida Wan Omar.

Pembelaan diwakili Tan Sri Shafee Abdullah, L.S Leonard, S.Suresh, Rahmat Hazlan, Savreena Kaur, Mardhiyah Siraj dan Zahriah Eleena Redza.

Perbicaraan itu turut disertai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa, Zain Arif dan Selvi Sandasegaran mewakili Kerajaan Republik Indonesia.