Daftar Perniagaan Percuma Untuk Belia, Ibu Tunggal B40

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan memperluaskan inisiatif pendaftaran perniagaan secara percuma kepada golongan belia dan ibu tunggal kategori B40 bagi menghadapi pandemik Covid-19. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, SSM akan merangka kaedah bersesuaian bagi membolehkan golongan berkenaan memanfaatkan skim pendaftaran perniagaan percuma.

“Usaha SSM memperluaskan inisiatif pendaftaran perniagaan percuma kepada golongan belia dan ibu tunggal B40 ini bakal mencetus minat berniaga serta menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan ini untuk menceburi bidang perniagaan.

“Ini boleh menjana pulangan pendapatan tambahan yang dapat menampung kehidupan seharian mereka, seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan sektor perniagaan di negara ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Cha Kee Chin (DAP-Rasah) berhubung inisiatif atau skim yang disediakan SSM untuk membantu peniaga dan usahawan tempatan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk golongan orang kurang upaya (OKU), wanita, belia dan pelajar yang baru memulakan perniagaan mereka.

Alexander berkata, KPDNHEP melalui SSM terus giat menggerakkan sektor komuniti peniaga dan korporat yang terjejas dengan melaksanakan lapan inisiatif yang bersifat inklusif bagi mengurangkan beban masalah dan tekanan yang dihadapi sektor berkenaan.

“Antara inisiatif pertama SSM ialah melaksanakan tempoh moratorium 30 hari dari tarikh berakhir PKP untuk menyerahkan dokumen berkanun SSM di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 yang perlu diserah simpan kepada SSM bermula 18 Mac hingga 30 September 2020 di mana fi lewat serah simpan akan dikecualikan.

“Selain itu, SSM juga memberikan pengecualian fi lewat serah simpan bagi dokumen berkanun di bawah Akta Syarikat 2016 berikutan arahan Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan mulai 9 November hingga 31 Disember 2020,” katanya. 

Menurutnya, inisiatif ketiga oleh SSM turut membabitkan pelanjutan masa untuk serah simpan penyata kewangan kepada SSM bagi tahun kewangan berakhir 1 September 2019 hingga 31 Mac 2020. 

“Syarikat perlu membuat permohonan kepada SSM dan pengecualian fi sebanyak RM100 diberikan bagi tujuan berkenaan dan pelanjutan masa juga diberikan kepada syarikat untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM),” katanya. – myMetro Online