Pencemaran Toksik: Buatlah Kerja Betul-Betul

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta membuat kerja betul-betul dalam isu pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Malah, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan kerajaan jangan memperjudikan nyawa rakyat.

“Bulan Mac lalu, kerajaan PH telah sahkan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim telah dibersihkan sepenuhya. Disahkan selamat, mereka kata.

“Hari ini pula, Menteri PH kata sisa toksik di Sg Kim Kim sebenarnya belum lupus sepenuhnya. Kalau macam ini, bagaimana rakyat nak percaya kerajaan?” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Bekas perdana menteri itu membuat kenyataan tersebut selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan pencemaran udara Pasir Gudang mengakibatkan pelajar sekolah sesak pernafasan sejak 20 Jun lalu adalah akibat kesan pembuangan sisa toksik Sungai Kim Kim.

Zuraida Kamaruddin berkata, sisa toksik yang dibuang dalam sungai Kim Kim di daerah itu masih belum dibersihkan sepenuhnya.

Pencemaran terbaharu itu adalah kes Sungai Kim Kim yang berlaku 7 Mac lalu.

Sedangkan pada 19 Mac lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin mengesahkan kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, yang tercemar akibat pembuangan sisa toksik disahkan selamat.

Kerja-kerja pembersihan sudah pun siap dan kini dalam proses mengeluarkan bahan-bahan sisa ke tempat pelupusan.

Menurut Yeo, sebanyak 900 tan metrik sisa tanah tercemar bersama 1,500 tan metrik air dikeluarkan dari kawasan itu. Kerja mengangkat bahan tercemar diteruskan sehingga 21 Mac ini, katanya pada sidang media di Sungai Kim Kim hari ini.

Najib berkata, pengulangan kes seumpama itu tidak pernah berlaku semasa Barisan Nasional memerintah.

“Buatlah kerja dengan betul-betul. PH jangan perjudikan nyawa rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette