Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

‘Tadi Aku Dah Kata...

ANAK merupakan anugerah yang tidak ternilai dan merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ibu...

Menangi Porche Macan Dalam...

KUALA LUMPUR - Kumpulan AmBank hari ini secara rasmi melancarkan kempen 'Win A...

Dua Hilang Ketika Keluar...

SEMPORNA: Dua warga asing dilaporkan hilang ketika keluar memancing di perairan Pulau Mataking...

PRU15: KJ Balik Rembau...

SUNGAI BULOH – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin...

Pencemaran Sungai: Agong Zahir Dukacita, Mahu Hukuman Berat

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan pencemaran Sungai Gong hingga menyebabkan kira-kira lima juta orang mengalami gangguan bekalan air di Lembah Klang adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

Seri Paduka yang menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian berkenaan, bertitah agar pihak disyaki terlibat menyebabkan pencemaran dibawa ke muka pengadilan dan jika didapati bersalah dikenakan tindakan tegas dan hukuman lebih berat.

“Al-Sultan Abdullah yang mengikuti perkembangan sejak hari pertama gangguan bekalan air tidak berjadual ini amat prihatin terhadap keluh kesah dan beban rakyat mengharungi situasi itu.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati kepada rakyat yang terpaksa beratur menunggu giliran dan bertungkus lumus mengambil air setiap kali gangguan bekalan berlaku,” menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menerima menghadap Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka bertitah kes pencemaran sungai itu adalah kes pencemaran berulang menyebabkan kemudaratan bukan sahaja kepada kehidupan rakyat, malah kepada sosioekonomi sehingga banyak perniagaan terpaksa ditutup berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

Kes pencemaran Sungai Gong sejak Khamis lepas menyebabkan 1.2 juta akaun membabitkan kira-kira lima juta pengguna di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa mengenal pasti sebuah premis sebagai punca pencemaran sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas.

Gangguan terbaharu bekalan air yang tidak berjadual itu bukan yang pertama diharungi oleh rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur.


Situasi itu dialami penduduk Lembah Klang sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun.

Selain tindakan tegas, Al-Sultan Abdullah menyeru pihak berkuasa khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Jabatan Alam Sekitar mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan kes pencemaran sungai seumpama itu dapat dibendung dengan berkesan dan tidak berulang.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan terhadap tindakan kerajaan negeri Selangor yang mengarahkan supaya pemilik premis yang menjadi punca pencemaran air merobohkan struktur bangunan kerana tanah persendirian yang dibangunkan sebagai premis penyelenggaraan jentera berat itu didapati tidak mempunyai kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Kenyataan Istana Negara itu turut menyatakan bahawa Seri Paduka menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan agensi kerajaan berkaitan atas tindakan segera yang diambil bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan air kepada kawasan terjejas.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar penjagaan alam sekitar diberi fokus oleh pihak berkuasa, khususnya dalam urus tadbir pengurusan sungai dan aktiviti kesedaran dalam kalangan rakyat.

Pembentukan jati diri dan sayang kepada alam sekitar perlu didedahkan dengan memberi didikan awal kepada anak-anak dengan penganjuran aktiviti dan program amal pembersihan kawasan awam sebagai bentuk pengajaran. – BERNAMA

Kategori