Pencemaran: Keputusan Sampel Ikan Minggu Depan

JOHOR BAHRU – Keputusan ujian makmal terhadap sampel ternakan ikan yang diambil daripada penternak di sekitar Pasir Gudang berhubung insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dijangka diperoleh beberapa hari lagi.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Zamani Omar berkata, kesemua sampel ternakan termasuk ikan, kupang dan ketam itu telah dihantar Jawatankuasa Bertindak Khas yang menjalankan siasatan mengenai kejadian berkenaan ke sebuah makmal swasta beberapa hari lepas.

“Tindakan ini adalah untuk kajian jangka masa panjang supaya tidak memberi risiko kepada orang ramai. Ujian makmal ini akan mengambil masa beberapa hari bergantung kepada analisis makmal berkenaan.

“Selepas laporan keluar dan menyatakan bahawa ikan dan hidupan akuatik tidak terkena sisa kimia, maka, kita (Pejabat Perikanan Negeri Johor) akan hantar laporan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengisytiharkan kesemua hidupan laut di sekitar Pasir Gudang selamat dimakan,” katanya.

Zamani berkata, aduan paling ketara diterima pihaknya daripada nelayan susulan pencemaran tersebut adalah mereka sukar memasarkan hasil tangkapan sekali gus merosot pendapatan disebabkan orang ramai takut membeli hasil laut.

Loading...