Pencarian Acap: Polis Terima 4 Laporan Berita Palsu

GOPENG – Polis menerima empat laporan berkaitan penularan berita palsu melalui media sosial berkaitan kejadian seorang peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, sejak 23 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, empat laporan tersebut diterima pihaknya daripada empat individu berbeza sejak 4 April hingga semalam.

“Sehingga semalam, kita menerima empat laporan berita palsu melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial Facebook berkaitan kejadian kehilangan Mohammad Ashraf yang hilang ketika menyertai larian GUT 2019 kategori 25 Kilometer pada 23 Mac lalu.

“Antara berita palsu tersebut ialah mengenai penemuan mangsa oleh pasukan #TEAMCOBRA yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp dan dimuat naik melalui akaun Facebook Putra Al Mukmin,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambah Hasron Nazri, polis turut menerima laporan mengenai penemuan mangsa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama Ustaz, namun turut menyatakan mangsa tidak mahu kembali kerana telah berkahwin dengan jin yang dimuat naik melalui akaun Facebook Muahsetapak.com.

“Selain itu, satu laporan lagi mengenai rakaman suara yang dimuat naik di Facebook milik Hafiz Amir yang menyatakan mangsa disorok penduduk kampung.

“Laporan keempat pula berkaitan satu status yang dimuat naik melalui Facebook atas nama Muhmmad Mamzah (Brado Kapak) yang menyatakan pihak penganjur GUT 2019 bersikap lepas tangan dalam pencarian mangsa,” katanya.

Jelasnya, pihak polis merujuk tiga laporan awal tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk siasatan lanjut manakala laporan keempat diklasifikasikan sebagai tiada kesalahan jenayah.

“Polis menegaskan siasatan akan dibuat berlandaskan fakta dan bukti dan mengingatkan orang ramaia agar tidak menularkan sebarang maklumat atau berita melalui media sosial berdasarkan persepsi sendiri sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat maklumat berkenaan,” katanya. – K! ONLINE

Loading...