Penarafan Turun Bukan Disebabkan Faktor Dalaman Negara

KUALA LUMPUR – Penurunan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia oleh Fitch Ratings bukan disebabkan faktor ekonomi dalaman negara.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, berkata ini kerana banyak petunjuk seperti kedudukan Malaysia antara negara paling berdaya saing di rantau ini menduduki tempat ke-12 dalam laporan Menjalankan Perniagaan.

Selain itu, katanya, kerajaan pada 2019 menganggarkan harga minyak dunia berada pada paras AS$60 setong, namun ia turun pada paras AS$40 setong berikutan kesan pandemik COVID-19.

Katanya, defisit fiskal negara juga mengunjurkan berada pada tahap 3.2 peratus berikutan ketidaktentuan yang berlaku ketika itu.

“Belanjawan 2020 yang dibentangkan sebaliknya mengunjurkan defisit fiskal negara berada pada tahap 3.4 peratus.

“Berbalik kepada soalan Yang Berhormat, krisis ini bukan disebabkan faktor ekonomi dalaman negara berdasarkan beberapa elemen yang menyumbang kepada peningkatan prestasi.

“Ia bukan sebenarnya menunjukkan penurunan daripada dari ‘A-‘ kepada ‘BBB+’ seperti disebutkan bukan disebabkan faktor ekonomi dalaman,” katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja).

Pada 4 Disember lalu, Fitch Ratings umumkan ia menyemak turun IDR mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘.

Agensi penarafan itu berkata penurunan nilai IDR disebabkan krisis COVID-19 yang telah menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal.

Katanya, metrik hutang kerajaan juga telah merosot disebabkan wabak berkenaan sekali gus dijangka melonjak hutang kerajaan kepada 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2 peratus pada 2019. – BH Online