Baiki Sekolah Daif Guna Kaedah Konvensional

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan melihat kepada keperluan pembangunan atau penambahbaikan sekolah daif pada masa hadapan menggunakan kaedah konvensional, selain teknologi sistem bangunan berindustri (IBS), Dewan Rakyat diberitahu malam ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata penggunaan kaedah itu bagaimanapun akan melihat kepada kesesuaian terlebih dahulu.

“Bagi tahun hadapan, kita takkan terhad kepada kaedah IBS untuk membina sekolah daif lagi, untuk tempat sesuai kalau kaedah konvensional lebih jimat kita akan pakai kaedah konvensional.

“Jadi dasar untuk pembangunan atau penambahbaikan kita akan ubah sikit,” katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata sehingga 31 Ogos lepas, sebanyak 1,498 sekolah daif di mana 1,073 adalah sekolah rendah dan selebihnya sekolah menengah direkodkan di seluruh negara.

“Sebanyak 394 sekolah daif seluruh negara terlibat dalam projek pembaikan merangkumi 158 buah di Semenanjung, 120 buah di Sabah dan 116 di Sarawak,” katanya.

Mengenai pemberian baucar buku, Teo berkata ia masih dipertimbangkan Kementerian Kewangan dan keputusan mengenainya akan diumum selepas kata putus dicapai. – BERNAMA

Loading...