Penalti VAR Kane Tumbangkan Chelsea

LONDON – Tottenham Hotspur meraih kelebihan tipis pada separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris menentang musuh dari London, Chelsea ketika penalti Harry Kane membantu mereka menang 1-0 di Wembley, awal pagi tadi.

Penalti Kane pada minit ke-26, gol ke-160 buatnya bersama kelab itu, bermakna anak buah Mauricio Pochettino menjadi pilihan untuk layak ke final sekalipun masih banyak perlu dilakukan mereka.

Gol tunggal hadir dalam situasi kontroversi apabila pengadil Michael Oliver akhirnya memberikan sepakan penalti dengan bantuan pengadil bantuan video (VAR) selepas kapten Spurs, Kane dikatakan berada dalam keadaan tidak ofsaid sebelum dijatuhkan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Kane meledak sepakan penalti itu dengan cara kebiasaannya untuk melonjak ke tangga keempat mengatasi Cliff Jones dalam carta penjaring gol terbanyak Tottenham sepanjang zaman.

Chelsea, yang kelihatan lebih bagus berbanding ketika kalah 1-3 kepada Tottenham dalam Liga Perdana November lalu, boleh dikatakan tidak bernasib baik kerana dua percubaan mereka terkena palang sebelum rehat dan kemudian mendominasi babak kedua.

Tottenham terpaksa bertahan sepanjang masa namun penjaga gol mereka Paulo Gazzaniga bertinak cemerlang mengawal kubunya daripada dibolosi.

Separuh akhir kedua diadakan di Stamford Bridge pada 24 Januari ini.

Tottenham memburu trofi sulung di bawah kendalian Pochettino dan trofi pertama sejak menewaskan Chelsea pada final Piala Liga 2008.

Penyandang juara Manchester City berdepan Burton Albion pada separuh akhir pertama awal pagi esok. – Reuters

Loading...