Penagih Jangan Malu Dapat Rawatan

KUANTAN – Mereka yang terjebak dalam penagihan dadah dinasihatkan untuk tidak malu mendapatkan rawatan, kerana terdapat pelbagai bentuk bantuan disediakan.

Walaupun sukar untuk pulih, ia bukan perkara yang mustahil kerana terdapat pelbagai program disediakan di pusat pemulihan, yang juga menerapkan pengisian kerohanian dibantu dengan sokongan anggota keluarga.

Seorang bekas penagih yang mahu dikenali sebagai Naim, 24, mengakui bahawa sukar untuk dia meninggalkan ketagihan terhadap syabu selepas terjebak pada usia 19 tahun, atas alasan mahu mencuba dan pengaruh rakan.

“Pada awalnya saya memang menolak bila diajak rakan, namun lama-kelamaan berasa tertarik… saya juga berasa lebih fokus dan bertenaga untuk bekerja semasa mula mengambil syabu sehingga akhirnya ketagih.

Keluarga langsung tidak tahu saya menjadi hamba syabu. Selama empat tahun saya dapat menyembunyikannya, sehingga akhirnya saya terdetik mahu berubah kerana tidak tahu berapa lama lagi saya boleh berterusan begini.

“Sukar untuk saya berterus terang dengan keluarga, terutamanya ibu semasa saya meminta dihantar ke pusat pemulihan. Syukur mereka tidak terus menyisihkan saya selepas diberitahu walaupun berasa kecewa,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Naim yang sudah dua tahun bebas dadah ditemui pada Program Rasulullah di Hatiku bersama Kes-kes Pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah yang menghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di sini, selama 11 bulan pada tahun 2016 juga berterima kasih kepada kesanggupan keluarganya melawat beberapa kali, tanpa sedikitpun merungut tentang wang yang dihabiskan.

“Sebagai bekas pelatih PUSPEN, saya tahu perasaan pelatih baharu. Jadi saya bersyukur apabila dipilih untuk menjadi Pembimbing Rakan Sebaya bahagian agama di PUSPEN Sungai Ruan, Raub kerana dapat menggunakan pengalaman sendiri.

“Pengisian agama banyak membantu saya sebelum ini, menjadikan saya lebih tenang dan bersemangat untuk pulih. Sudah tentu, semangat melawan dadah lebih kuat jika mendapat sokongan keluarga,” katanya.

Pandangan itu dipersetujui pelatih PUSPEN Gambang di sini, yang hanya dikenali sebagai Ahmad, 28, yang telah menjalani program pemulihan selama 10 bulan selepas terjebak dadah sejak berumur 18 tahun.

Mengakui dia pada awalnya memberontak kerana ‘dipaksa’ ke pusat pemulihan, akhirnya ‘sejuk’ apabila melihat anggota keluarganya tetap melawatnya setiap bulan walaupun mereka menetap di Terengganu.

“Lama-lama rasa kasihan pada mereka. Sebenarnya memang tidak pernah pun terfikir saya boleh tinggalkan dadah kerana dadah sudah sebati dalam diri.

“Memang masalah ini boleh dipulihkan, tapi sebenarnya lebih baik jika tidak terjebak. Bila sudah terkena, susah dan hanya bawa keburukan. Lebih sedih, bila kita teringat wajah keluarga yang terluka dengan perbuatan kita,” katanya. – BERNAMA

Loading...