Pemuda UMNO Desak Siasatan Telus Kartel Daging Import

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan menubuhkan satu pasukan khas membabitkan pelbagai pihak berkuasa berkaitan supaya siasatan dapat dijalankan secara telus berhubung kegiatan kartel daging import haram.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan berkenaan juga perlu dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan dapat dilakukan secara pantas dan bersepadu.

Menurutnya, pendedahan mengenai wujudnya kartel yang menjalankan aktiviti penyeludupan daging dari negara yang persijilan halalnya tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selama 40 tahun mencetus kegusaran umat Islam di negara ini.

“Urusan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap pemprosesan daging di luar negara perlu membabitkan beberapa agensi termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jakim.

“Manakala bagi aspek keselamatan makanan halal pula, beberapa agensi lain terbabit antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Bahagian Penguatkuasaan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia.

“Memandangkan banyak agensi terbabit, maka kita mendesak ditubuhkan pasukan khas ini supaya segala siasatan dapat dijalankan dengan segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Laporan yang dibuat beliau pada 2 petang itu bertujuan meminta siasatan terperinci dan telus dilakukan bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, nama syarikat atau individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan perlu didedahkan termasuk membabitkan penyelewengan dan rasuah.

Ditanya mengenai sama ada wujud kegiatan kartel daging haram pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, Asyraf yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihaknya tidak pernah menerima laporan berkaitan perkara itu.

“Kita tidak pernah dengar dan dapat aduan kes itu pada waktu terbabit. Namun, kita rasa perlu diperkemaskan dari konteks industri halal.

“Kita turut mencadangkan penubuhan Majlis Halal Malaysia bagi membangunkan industri halal membabitkan 313 agensi. Saya sendiri bentang kepada Majlis Raja-Raja Melayu berkaitan isu pensijilan halal,” katanya.

Justeru, katanya, Pemuda UMNO menuntut siasatan secara telus dilakukan agar keyakinan dan kepercayaan rakyat termasuk masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti logo halal Malaysia dapat dipulihkan serta dipelihara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan menerima laporan berkenaan. – myMetro Online