Pemuda ‘Takut’ Polis Terjun Sungai Golok

RANTAU PANJANG – Tindakan nekad seorang lelaki terjun ke dalam Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pak Awang di sini pada petang semalam mengundang padah apabila dia dikhuatiri lemas.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, mangsa yang lemas dikenali sebagai Mohd Bakri Mohd Yusoff, 42.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sebelum kejadian sepasukan anggota dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas sedang menjalankan rondaan cegah penyeludupan dadah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, seorang lelaki didapati telah bertindak melarikan diri sejurus melihat kehadiran anggota polis.

“Lelaki berkenaan kemudian terus terjun ke dalam Sungai Golok.

“Selepas menunggu beberapa ketika lelaki ini tidak timbul-timbul,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, anggota Narkotik IPD Pasir Mas kemudian membuat laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) terus dilakukan bermula semalam sebaik sahaja laporan dibuat.

“Opersi SAR dihentikan pada pukul 6 petang semalam dan kembali disambung pada hari ini seawal 8 pagi tadi,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Loading...