Pemimpin UMNO Melaka Dikaitkan Serangan Seksual

MELAKA TENGAH – Polis membuka kertas siasatan berhubung cubaan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita yang juga kakitangan sebuah hotel di Ayer Keroh di sini pada 2 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, setakat ini pihaknya menerima dua laporan berhubung kes itu.

“Siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, tular kenyataan bertajuk ‘Kluster Ames Hotel’ yang dimuat naik di laman Facebook mendakwa seorang pemimpin UMNO cuba melakukan serangan seksual terhadap seorang kakitangan hotel wanita di Ayer Keroh pada 2 Oktober.

Kenyataan itu turut mendakwa lelaki tersebut kononnya mengaku melakukan perbuatan terkutuk sebelum meminta pihak hotel menyelesaikan secara ‘rundingan’.

Individu itu turut didakwa cuba menawarkan sejumlah wang sebagai dorongan untuk tidak membuat laporan polis dengan syarat wanita berkenaan menandatangani Akuan Bersumpah (SD).

Bagaimanapun, pihak pengurusan hotel dan wanita yang didakwa sebagai mangsa serangan tampil membuat dua laporan polis berbeza di Balai Polis Ayer Keroh apabila menafikan dakwaan insiden berkenaan.

Dalam laporan polis yang dibuat, wanita itu menafikan menjadi mangsa pemimpin lelaki terbabit, malah tidak tahu menahu mengenai kenyataan bergambar yang dimuat naik di Facebook seorang pengguna hingga tular di media sosial serta aplikasi WhatsApp. – Sinar Harian

Loading...