Pemimpin PH Dijemput Hadir Piagam 14 September

POKOK SENA – UMNO dan PAS mempelawa wakil parti politik dalam kerajaan menghadiri Majlis Tandatangan Piagam Taawun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September ini demi memberi kefahaman sebenar mengenai kerjasama itu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerjasama UMNO dan PAS sering difitnah dan disalahkan erti untuk mencetuskan permusuhan.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya menyeru dan menjemput semua wakil parti dalam kerajaan untuk datang ke majlis berkenaan bagi melihat gambaran sebenar.

“Sepatutnya, pusing-pusing cerita ini kerja pembangkang. Bagaimanapun kini terbalik apabila pembangkang cakap perkara betul manakala kerajaan cakap perkara kelentong.

“Seperti taawun, UMNO dan PAS didakwa bergabung untuk mencetuskan permusuhan dan ia fitnah besar. Jadi sebagai menyahut seruan kerajaan nak buktikan kita tidak mencetuskan permusuhan, saya bersama urusetia dengan persetujuan PAS telah bersetuju untuk menjemput semua wakil politik termasuk Lim Guan Eng,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Himpunan Penyatuan Ummah Kedah di Muassasah Darul Ulum Pokok Sena di sini malam tadi.

Annuar berkata, beliau akan menandatangani surat jemputan pada Isnin ini untuk menjemput semua parti termasuklah parti kerajaan menghadiri majlis itu.

“Kita jemput mereka datang untuk menyaksikan taawun UMNO Pas ini supaya mereka mendengar sendiri ucapan-ucapan dan biar mereka baca sendiri piagam yang akan kita umumkan,” katanya.

Anuar berkata, beliau ingin memberi jaminan bahawa kerjasama itu adalah untuk mengukuhkan penyatuan dan perpaduan dalam kalangan orang Islam dahulu.

Bagaimanapun katanya, mesej dan matlamat akhirnya adalah untuk menyatupadukan semua tanpa memencilkan atau meminggirkan sesiapa sahaja, yang mana ia akan ditulis secara hitam putih bahawa taawun adalah untuk rakyat secara keseluruhannya.

“UMNO dan PAS merupakan parti memiliki saham besar dalam Perlembagaan. Jadi tidak mungkin kita bergabung untuk melakukan benda bercanggah dengan apa yang ada dalam Perlembagaan.

“Dalam Perlembagaan sepertimana kita tahu memberikan perlindungan cukup ketat untuk orang Islam dan bukan Islam,” katanya.

Beliau berharap sekurang-kurang setiausaha agung semua parti politik di Malaysia dapat menghadiri majlis itu nanti.

“Dengan ini mereka boleh dengar secara langsung ucapan daripada kedua-dua presiden. Letak ke tepi dahulu sentimen, sila hadir dalam majlis taawun ini. Selepas dah dengan dah hadir, nak komen sila. Tidak adil, belum tengok belum tahu dan reka cerita sendiri,” katanya. – Sinar Harian