Pemimpin PH ‘Bonsai’, Mat Sabu Hormati Pandangan Veteran PKR

PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu berkata beliau menghormati pandangan bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali, yang mengecam Pakatan Harapan (PH) dan para pemimpinnya kerana didakwa kini tidak lagi mampu berdepan dengan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Walau bagaimanapun, Mohamad enggan terheret ke kancah polemik itu di mana veteran PKR itu melabel pemimpin PH itu “dibonsaikan oleh Mahathir”. Sebaliknya, kata beliau, ia hanyalah pandangan peribadi Syed Husin.

“Itu pandangan Syed Husin, jadi saya hormat pandangan beliau. Saya hormat pandangan orang veteran seperti itu. 

“Saya tidak ada komen apa, itu pandangan peribadi,” katanya kepada wartawan di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Dalam satu wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini, Syed Husin mengkritik pemimpin PH yang bagaikan “dibonsaikan” pemimpin Bersatu itu.

Syed Husin juga mendakwa Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan dihukum dengan dipaksa berundur jika beliau menentang Perdana Menteri.

Katanya, Majlis Presiden PH sebenarnya mempunyai kuasa tertinggi dalam parti gabungan tersebut dan boleh menentukan bila perdana menteri yang ketujuh tersebut perlu menyerahkan jawatannya.

“Sebenarnya Mahathir boleh diminta bersara sekarang oleh Majlis Presiden PH kerana majlis ini adalah kuasa tertinggi untuk menentukan bilakah Mahathir perlu turun. Mahathir tidak ada kuasa untuk menentukan bilakah beliau mahu menyerahkan kuasa.

“Rakyat tertanya tanya apakah Anwar, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang sudah dibonsaikan oleh Mahathir?” katanya.

Sementara itu, mengulas cadangan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang mengajak Mahathir membentuk kerajaan bersama BN dan PAS, Mohamad berkata, apa juga keputusan akan dibuat secara konsesus dan ia tidak hanya diputuskan oleh seorang individu.

“Kita ada (Majlis Presiden) PH, sebarang perbincangan melalui PH. 

“Bukan seorang individu yang boleh buat keputusan. Sekarang PH kukuh dan utuh,” katanya.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, juga ditanya mengenai persiapan konvensyen Amanah yang sebelum ini berdepan berapa masalah.

“Rancak berjalan. Tidak ada masalah dan berlangsung ikut jadual yang ditetapkan. 

“Konvensyen pada Disember,” katanya. – MalaysiaKini

Loading...