Pemimpin Pembangkang Kemboja Ditahan Di KLIA

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Saifuddin Abdullah mengesahkan Naib Presiden Cambodia National Rescue Party (CNRP), Mu Sochua ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lewat malam semalam.

Beliau turut mengakui ada menerima permintaan daripada kerajaan Kemboja agar Sochua, juga pemimpin parti pembangkang yang diharamkan di negara itu, dihantar pulang.

Saifuddin bagaimanapun menjelaskan penahanan Sochua dibuat sekadar untuk diambil keterangan bukannya dibuat atas permintaan kerajaan Kemboja.

Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan, sebarang keputusan Malaysia terhadap Sochua, akan dibuat tanpa terikat dengan desakan mana-mana pihak.

“Sochua kini berada di KLIA. Pegawai Imigresen hanya mahu mendapatkan keterangan daripadanya.

“Dia masuk ke negara ini menggunakan pasport Amerika Syarikat (AS) lewat malam tadi. Pihak Imigresen hanya mahu mengambil keterangannya. Mereka mungkin mahu tahu tujuan dia ke sini.

“Apa pun, pendirian Wisma Putra adalah kita tidak berada dalam posisi untuk menghantar pulang sesiapa atau kita suka untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan laporan beberapa media antarabangsa yang mendakwa Sochua ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Mengulas mengenai permintaan Kemboja, Saifuddin berkata ia adalah permintaan biasa daripada sebuah kerajaan yang mahu beberapa rakyatnya dihantar pulang, dan Malaysia sudah memberi maklum balas kepada permintaan itu.

“Kita buat keputusan secara sendiri, bukan kerana permintaan atau campur tangan dari negara luar, jadi apa yang pihak Imigresen lakukan adalah atas kepentingan kita.

“Kita adalah negara demokrasi. Kita ikuti perkembangan ini secara dekat, namun pada masa sama, kita tidak boleh campur tangan dalam apa yang berlaku di negara lain,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Sochua ditangkap bersama pengasas CNRP, Sam Rainsy, Saifuddin menafikan perkara itu.

“Saya mengenali dia, tapi tidak tahu sama ada dia akan ke sini. Ada khabar angin beliau akan datang ke Malaysia untuk bertemu saya, itu memang tiada dalam perancangan,” katanya.

Pihak berkuasa Malaysia menahan Sochua, pemimpin parti pembangkang Kemboja yang diharamkan lewat malam tadi, kata pegawai hak asasi selepas Thailand menyekat hasratnya untuk pulang dan Kemboja meminta dia ditahan selepas melakukan sidang akhbar di Indonesia.

Sochua,dalam perjalanan pulang bersama dengan pengasas parti itu, Sam Rainsy.

Minggu lepas, Thailand menolak kemasukan Sochua ketika tiba terbang di lapangan terbang antarabangsa utama Bangkok.

Beliau kemudian terbang ke Indonesia, yang mana kedutaan Kemboja meminta dia ditangkap selepas mengadakan sidang akhbar.

Di Kemboja, seorang anggota kanan CNRP berkata, parti itu tidak menyedari penahanan Sochua di Malaysia.

Kemboja telah menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang tahun ini atas tuduhan merancang untuk menggulingkan kerajaan Perdana Menteri, Hun Sen.

Puluhan aktivis pembangkang lain yang melarikan diri dari Kemboja kerana bimbang akan ditangkap tetapi berjanji untuk kembali menyokong Rainsy.

Loading...