Pemimpin Keluar UMNO Jadi `Kera Sumbang’

SHAH ALAM – Pemimpin UMNO yang keluar parti akan menjadi ‘kera sumbang’ serta tidak akan mendapat tempat dalam Pakatan Harapan…

SHAH ALAM – Pemimpin UMNO yang keluar parti akan menjadi ‘kera sumbang’ serta tidak akan mendapat tempat dalam Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi Veteran UMNO Selangor, Datuk Ahmad Bahri.

Beliau mendakwa beberapa pemimpin UMNO yang meninggalkan parti mengharapkan akan mendapat jawatan apabila menyokong kerajaan baharu, namun hakikatnya kehadiran mereka dipandang sepi oleh majoriti pemimpin dalam PH.

“Kedatangan bekas pemimpin UMNO ke BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) atau mana-mana parti dalam PH tidak diundang. Bagi PH, kehadiran bekas pemimpin UMNO ini tidak membawa sebarang kesan kepada mereka. Begitu juga dengan UMNO, kita tidak perlu menangisi pemergian mereka.

“Saya yakin pada akhirnya, pemimpin yang keluar UMNO selepas tidak lagi menjadi kerajaan pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) akan menyesal dengan tindakan mereka serta kembali kepada perjuangan UMNO,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Ahmad Bahri berkata, pemimpin yang meninggalkan UMNO memberikan pelbagai alasan untuk ‘menghalalkan’ tindakan yang dilakukan, sedangkan selama ini mereka ‘mengaut’ pelbagai kemudahan yang diberikan kerajaan terdahulu.

“Tidak perlulah beri alasan itu alasan ini. Selama ini mereka berada di atas, atas dukungan serta sokongan ahli UMNO di seluruh negara.

“Apabila UMNO diasak hebat dari segenap sudut, pemimpin yang sepatutnya mempertahankan institusi ini mengambil jalan mudah dengan lari dari medan perjuangan,” katanya.

UMNO kini berdepan tamparan hebat susulan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan parti itu.

Turut keluar parti ialah veteran UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar dan bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar UMNO; begitu juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. – BH Online

Loading...