Pemimpin, Jentera UMNO Diseru Dengar Keluhan Rakyat

SHAH ALAM- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru agar seluruh pemimpin dan jentera UMNO turun padang bagi mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat Sekatan Pergerakan Penuh penuh dilaksanakan kerajaan.

Menurutnya, jentera di setiap peringkat harus berada dalam keadaan bersiap siaga dan sedia berkhidmat termasuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang terjejas ketika ‘total lockdown’ tersebut.

“UMNO sememangnya berpegang kepada tradisi membela kebajikan rakyat yang menjadi teras perjuangan sehingga parti keramat ini terus kekal relevan sampai ke hari ini.

“Tradisi membela nasib rakyat perlu terus diperkasakan ketika pandemik Covid-19 ini. UMNO perlu menjadi juara membela nasib rakyat.

“Namun dalam melaksanakan tanggungjawab ini, pastikan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) sentiasa dijaga dan amalkan kawalan kendiri yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 28 Mei, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bermula 1 Jun sehingga 14 Jun ini bagi membendung penularan Covid-19.

Menurut satu kenyataan, sidang khas itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut memutuskan semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.

Tambah Ismail Sabri, Sekatan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan kerajaan adalah bertujuan bagi membendung dan memutuskan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Jelasnya, kerjasama semua pihak amat diperlukan agar mematuhi SOP kerana masyarakat yang menjadi penentu kejayaan sama ada penularan wabak itu dapat diputuskan atau tidak.

“Dua minggu yang kritikal ini saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya patuh pada SOP yang telah ditetapkan dan duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar,” ujarnya. – Sinar Harian