Pemilik Premis Digalakkan Pasang CCTV Berkualiti

MELAKA – Pemilik premis persendirian, perniagaan dan stesen minyak khususnya yang beroperasi 24 jam digalakkkan memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang berkualiti di premis masing-masing sebagai langkah pencegahan jenayah.

Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata CCTV yang berkualiti merupakan satu mekanisme terbaik membantu polis mendapatkan bukti jelas, mengesan penjenayah dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Beliau berkata secara purata kira-kira tiga kes pecah premis termasuk perniagaan, stesen minyak serta rumah dilaporkan berlaku di Melaka dan kebanyakan kes berkenaan dapat diselesaikan menerusi sistem CCTV yang berkualiti.

“CCTV yang mempunyai sistem pengawasan yang baik penting bukan sahaja membantu mencegah berlaku jenayah di peringkat awal malah ia turut membantu polis mengesan penjenayah sekali gus mengurangkan jenayah pecah rumah atau curi motosikal.

“Pemasangan sistem ini juga bukan sahaja memberi kebaikan kepada pemilik malah ia juga mampu meningkatkan aspek keselamatan dan mengurangkan risiko jenayah di sekeliling premis terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program 3S: Smart, Security, Surveillance di sini, hari ini.

Program berkenaan merupakan anjuran bersama Polis Diraja Malaysia Kontijen Melaka, Panther 911 dan Digistar Corporation Sdn Bhd dan ia turut dihadiri Pengarah Urusan Panther 911 Louis Lee Chun Szen. – BERNAMA

Loading...