Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Ditangguh

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul untuk menangguhkan pemilihan seorang Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya dibuat hari ini.

Usul itu dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Peraturan mesyuarat 90(2) dengan persetujuan yang Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan peraturan mesyuarat 6 iaitu bagi menanguhkan pemilihan yang timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seperti perkara nombor satu yang sudah tertera dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul hari ini ke mesyuarat kedua penggal keempat Parlimen ke-14,” katanya.

Usul itu disokong Ahli Parlimen Arau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kasim.

Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu adalah antara tumpuan persidangan Parlimen hari ini.

Pemilihan jawatan yang dikosongkan Datuk Seri Azalina Othman Said itu mendahului senarai usul Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul pada persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang berlangsung selama 17 hari mulai semalam.

Usul itu dibuat susulan Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang meletak jawatan pada 23 Ogos.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon pada Ahad memaklumkan kepada Bernama, nama calon daripada blok pembangkang dan kerajaan telah diterima dan sekiranya terdapat lebih daripada seorang calon, undi belah bahagian akan dijalankan.

Setakat ini dua nama disebut-sebut bakal dicalonkan iaitu Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga calon blok kerajaan dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming calon Pakatan Harapan (PH). – BH Online