KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyeru anggota parti itu keluar awal mengundi berikutan cuaca mendung di beberapa kawasan di Selangor pagi ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata anggota parti yang layak mengundi terutama di kawasan Gombak dinasihatkan berbuat demikian bagi melancarkan proses pengundian.

“Kita harap ahli dapat keluar awal memandangkan cuaca mendung dan hujan mungkin akan turun hari ini, jadi keluar awal untuk mengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi bagi Gombak di Dewan Sri Siantan dekat sini.

Pengundian cabang berkenaan hanya bermula 10.15 pagi selepas tertangguh 15 minit kerana masalah teknikal.

Sementara itu, Mohamed Azmin berharap Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) lebih bersedia bagi mengelak proses pengundian terganggu.

Katanya kejadian penangguhan PKR di cabang berkenaan pagi ini misalnya akan memberi gambaran negatif kepada proses pemilihan parti itu.

“Sebagai parti reformasi yang memulakan sistem e-undi, JPP perlu lebih bersedia dan menambah baik sistem ini dari masa ke semasa,” katanya.

Fasa kedua pemilihan PKR bagi negeri Selangor membabitkan tujuh daripada 22 cabang diadakan hari ini.

Kira-kira 83,000 anggota layak mengundi membabitkan cabang Puchong dengan 17,748 pengundi, Gombak (9,921), Petaling Jaya Utara (6,136), Petaling Jaya Selatan (7,906), Kuala Langat (14,121), Klang (12,998) dan Selayang (15,104).

Selain Selangor, proses pengundian juga berlangsung di Perlis membabitkan 5,490 anggota layak mengundi. – BERNAMA

Loading...