Pemerkasa Tumpu 20 Inisiatif Strategik

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion membabitkan suntikan fiskal baharu kerajaan bernilai RM11 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pemerkasa akan menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

Katanya, pada masa ini, negara sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu ‘Revitalize’ atau Memperkasa ekonomi. 

“Kini, genap setahun negara kita melaksanakan pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani Covid- 19. Sepanjang tempoh ini, kerajaan terus melakukan apa saja yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan menyokong pemulihan ekonomi.

“Pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi,” katanya pada perutusan khas hari ini.

Beliau berkata, Pemerkasa akan memfokuskan lima perkara utama dalam mengawal Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Selepas setahun kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara ini, kami terus merencana pelbagai strategi pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Kami berusaha sehabis baik untuk memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menerima manfaat.

“Justeru, kerajaan mengenal pasti lima fokus utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang 2021 iaitu mengawal penularan Covid-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi,” katanya. – myMetro Online