Pembelaan Mula Hujahan Kes Najib Isnin Ini

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan, yang mewakili bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd, akan membuat penghujahan lisan terlebih dahulu apabila kes itu disambung semula di Mahkamah Tinggi, di sini, Isnin ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum ini menetapkan tiga hari mulai 1 hingga 3 Jun ini untuk mendengar penghujahan lisan oleh kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan.

“Ya, (saya berhujah dulu) dan berakhir dengan kami,” kata peguam utama pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika dihubungi Bernama hari ini.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Timbalan Pendakwa Raya dilantik, Datuk V. Sithambaram juga memberitahu Bernama bahawa beliau akan mengemukakan hujahan bagi pihak pendakwaan bagi mematahkan kes pembelaan.

Oleh itu, prosiding Isnin akan ini akan menyaksikan jawapan balas pihak pendakwaan terhadap hujahan pembelaan dan diakhiri dengan jawapan balas pihak pembelaan terhadap hujahan pendakwaan.

Pada 5 Mei lalu,  Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan memberitahu Bernama bahawa pihak pembelaan telah mengemukakan 643 muka surat hujahan bertulis manakala pendakwaan mengemukakan 306 muka surat dan kedua-kedua pihak perlu membalas hujahan tersebut.

Beliau turut berkata pendakwaan telah membalas 336 muka surat hujahan bertulis pembelaan manakala pembelaan membalas 446 muka surat.

Pada 11 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 19 saksi pada perbicaraan pembelaan yang berlangsung selama 33 hari sejak 3 Dis tahun lalu manakala pendakwaan memanggil 55 saksi sejak perbicaraan bermula 3 April tahun lalu.

Pada 11 November tahun lalu, Najib diarah membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.

Berhubung tuduhan pecah amanah, Najib, selaku penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Penasihat Emeritus SRC International didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang masing-masing berjumlah RM27 juta dan RM5 juta daripada RM4 bilion milik SRC.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group dekat Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Disember hingga 29 Disember 2014.

Bagi kesalahan ketiga, Najib didakwa melakukan jenayah sama, membabitkan wang berjumlah RM10 juta, di tempat sama, antara 10 Februari hingga 2 Mac 2015.

Bagi semua tuduhan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi tuduhan rasuah pula, Najib dengan kedudukan sama, didakwa menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terbabit dalam keputusan bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri Presint 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 hingga 8 Februari 2012 mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, maksimum 20 tahun penjara dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil daripada aktiviti haram melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di Bank AmIslamic.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Bank AmIslamic Berhad, Bangunan AmBank Group, No 55 Jalan Raja Chulan, dekat sini pada 26 Disember 2014.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM10 juta di tempat dan cara yang sama.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi.

Loading...