Pembatalan Projek HSR KL-Singapura Penyelesaian Terbaik

KUALA LUMPUR – Keadaan pandemik COVID-19 di seluruh dunia, memaksa Malaysia menilai semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. 

Projek berkenaan ditangguhkan pada Mei 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan kajian semula terhadap beberapa komitmen pelaburan utama kerajaan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan ketika itu juga mengkaji semula pelaksanaan semua projek mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Malaysia Vision Valley dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3). 

“Kemunculan COVID-19 memaksa kerajaan mencari jalan untuk mengurangkan kos beberapa projek mega serta mengenal pasti strategi bagi memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19. 

“Perkembangan ini menyebabkan syarat asal Perjanjian Dua Hala yang dimeterai pada tahun 2016, tidak lagi berdaya maju bagi Malaysia. 

“Kita terpaksa meneliti semula keseluruhan struktur projek dan model perniagaan yang termaktub dalam perjanjian itu,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Katanya, pada Mei lalu, Singapura bersetuju memberikan penangguhan terakhir bagi melaksana projek HSR sehingga 31 Disember. 

“Kerajaan menggunakan ruang ini untuk mengkaji semula keseluruhan projek ini. Kajian itu termasuklah struktur projek, model perniagaan, reka bentuk infrastruktur dan sistem.

“Hasil daripada kajian semula dijalankan, kerajaan mencadangkan struktur baharu yang pada pandangan Malaysia bukan sahaja lebih kemas, malah model HSR yang dicadangkan itu digunakan secara meluas di seluruh dunia, antaranya di Eropah, United Kingdom, Jepun dan Korea Selatan. 

“Cadangan struktur projek baharu itu juga mengelakkan Kerajaan daripada memberikan jaminan berjumlah RM60 bilion selama 30 tahun,” katanya.

Di samping itu katanya, cadangan itu juga memberikan Malaysia lebih banyak fleksibiliti dalam membiayai projek ini. 

“Selain itu, kita juga mencadangkan beberapa perubahan lain termasuk perubahan kepada jajaran dan reka bentuk stesen yang kesemuanya akan mengurangkan perbelanjaan kira-kira 30 peratus.

“Kesemua cadangan ini dapat mengurangkan kos dan pada masa yang sama mengekalkan faedah projek,” katanya.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, perkara lagi yang menjadi pertimbangan ialah kemungkinan memulakan pembinaan projek ini dua tahun lebih awal.

“Ini boleh membantu dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia pasca COVID khususnya sektor pembinaan. 

“Ini mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil, sederhana dan berskala besar pada waktu yang genting ini,” katanya.

Jelasnya, Malaysia juga mencadangkan perubahan yang akan membolehkan HSR dihubungkan dan diintegrasi dengan rangkaian pengangkutan Malaysia sedia ada dengan lebih berkesan.

“Beberapa perbincangan yang intensif pada peringkat teknikal dan peringkat menteri sudah diadakan sepanjang enam bulan lalu. 

“Perdana Menteri kita dan Perdana Menteri Singapura juga sudah mengadakan sidang video pada 2 Disember lalu. Malangnya, kita gagal mencapai kata sepakat,” katanya.

Katanya, sebagai individu yang terbabit secara langsung dalam perbincangan dua hala sejak enam bulan lalu, beliau menegaskan Malaysia sudah melakukan yang terbaik demi menjaga kepentingan negara.

“Semua perbincangan antara kedua negara berlangsung dalam suasana mesra dan membina. Hubungan Malaysia dan Singapura adalah amat rapat dan kedua-dua negara berhasrat untuk mengukuhkan lagi hubungan akrab ini. 

“Sesuai dengan hasrat itu, kita akan terus mengadakan perbincangan untuk mempertingkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara untuk manfaat bersama,” katanya.

Katanya, walaupun perjanjian dua hala ini sudah luput, Malaysia dan Singapura akan terus bekerjasama rapat dalam mengukuhkan integrasi rentas sempadan bagi memastikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi yang mampan di kedua-dua negara. 

“Kemungkinan untuk menghubungkan kedua-dua negara melalui kesalinghubungan berkelajuan tinggi pada masa hadapan akan terus diterokai. Walaupun hasrat ini tidak tercapai sekarang, mungkin satu masa nanti,” katanya. – BH Online