Pembantu Kedai Cedera Diserang Suami ‘Gila Talak’

BESUT – Seorang pembantu kedai wanita cedera di bahagian bawah mata dan tangan selepas diserang bekas suaminya yang ‘gila talak’ dengan menggunakan pemutar skru di sebuah kedai makan di Pantai Air Tawar di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 4.30 petang itu dipercayai berpunca selepas suspek kecewa gagal memujuk mangsa untuk rujuk semula.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sebelum kejadian, mangsa berusia 28 tahun telah didatangi bekas suaminya ketika sedang bekerja di kedai makan tersebut.

“Suspek yang merupakan seorang nelayan dikatakan cuba memujuk mangsa untuk rujuk semula setelah hampir dua tahun bercerai.

“Mangsa enggan menuruti kemahuan suspek menyebabkan lelaki berusia 31 tahun tersebut berang sehingga tercetus pertengkaran mulut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zamri berkata, suspek berkenaan kemudiannya bertindak di luar dugaan menikam bekas isterinya dengan menggunakan pemutar skru.

Menurut beliau, serangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kanan, kening kiri dan kedua-dua belah tangan sebelum dihantar oleh beberapa saksi kejadian ke Unit Kecemasan Hospital Besut di sini untuk mendapatkan rawatan.

“Suspek yang melarikan diri berjaya ditahan oleh anggota polis di Jalan Cawat, Kuala Besut dekat sini pada kira-kira pukul 6 petang tadi.

“Polis turut berjaya merampas pemutar skru berwarna kuning yang dipercayai suspek untuk menyerang bekas isterinya selain sebuah motosikal Yamaha Ego dan kunci motosikal itu,” katanya.

Difahamkan suspek dan bekas isterinya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun telah bercerai di Mahkamah Syariah Besut di sini pada dua tahun lalu selepas lima tahun melangsungkan perkahwinan. – K! ONLINE