Pembangkang Belum Mampu ‘Move On’ Dari Pemimpin Tua

USIA Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dipertikaikan kemampuan untuk menjawat jawatan perdana menteri sekali lagi selepas menjawatnya selama 22 tahun masih menjadi isu diperdebatkan.

Usia melepasi 90 tahun itu bukan satu-satunya isu yang sebenarnya dibimbangi pengkritik beliau, tetapi cita-cita politik melibatkan anaknya Mukhriz dan rekod lampaunya selama menjadi perdana menteri yang lebih dirisaukan.

Apa yang menjadi isu utama dalam kritikan terhadap beliau bukan sama ada beliau masih larat atau tidak, boleh memandu kereta sendiri dalam hujan atau tidak, tetapi isu-isu berkaitan rekod beliau dan pendirian politik beliau yang nampak pragmatik itu.

Isu mahukan kuasa tidak dapat dinafikan bila melibatkan bekas PM yang pantang dicabar dan dikritik ini, dan kedudukan beliau mengetuai partinya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan juga gabungan Pakatan Harapan (PH) memberi gambaran nafsu kuasa pemimpin ini.

Nafsu kuasa beliau ini mungkin setaraf dengan yang ditunjukkan oleh orang kuat DAP, Lim Kit Siang yang berusia 77 tahun dan telah menjadi tokoh berpengaruh parti Cina ini sejak 1970-an lagi.

Hari ini Kit Siang tidak dapat dicabar oleh mana-mana pemimpin dalam DAP, dan ahli-ahli keluarganya menguasai parti itu dan tidak ada yang berani mendesak anaknya Lim Guan Eng berundur apabila terpalit kes korupsi pembelian rumah.

Sama seperti Mahathir, Kit Siang juga mempunyai misi memastikan anak-anak dan keluarganya kekal berkuasa dan berpengaruh dalam DAP.

Tidak ada yang dapat menafikan bahawa DAP dikuasai oleh keluarga Lim, dan siapa yang melawan akan terpelanting keluar.

Sejarah DAP dipenuhi dengan kisah pemimpin-pemimpin berpengaruh yang berbeza pandangan walaupun sedikit dengan Kit Siang akhirnya ditolak keluar.

Pada masa DAP berasa makin hampir dengan kemenangan di peringkat persekutuan dengan gabungan PH, nafsu untuk menggenggam kuat kedudukan penting dalam parti semakin melonjak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah seorang lagi pemimpin lama yang masih menjadi sandaran satu puak dalam pembangkang, di dalam PKR dan juga dalam pertubuhan lain di luar medan politik.

Anwar berusia 70 tahun, tetapi kini dalam penjara dan boleh dikatakan telah melepasi tempoh kemuncaknya, selepas dapat menjadi timbalan perdana menteri dan kemudian memimpin pakatan pembangkang Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

PKR dan politik negara telah lama dipengaruhi oleh kehendak dan perancangan politik Anwar, sejak era reformasi 1998 hingga hari ini, apabila beliau diletakkan di kedudukan tinggi dalam PH.

Tidak boleh dinafikan Anwar mempunyai perancangan untuk legasinya, terutama melibatkan kelangsungan politik anaknya Nurul Izzah.

Parti-parti pembangkang sering melaung-laungkan tentang perlunya pemimpin dari generasi muda, mengajak keperluan orang muda dipenuhi dan kebajikan mereka dipelihara, tetapi keseluruhannya politik parti pembangkang masih dikuasai pemimpin-pemimpin tua.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 ini, rakyat Malaysia masih terpaksa mendengar dari pemimpin-pemimpin tua pembangkang ini yang masih tidak mahu berundur dan mahu terus menguasai parti masing-masing. – Mynewshub.cc