Pemandu Terlelap, 2 Rakan Maut Di Lebuh Raya CSR

KUANTAN – Dua rakan maut selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh belakang lori di lorong kecemasan Kilometer 86, Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), Lipis dekat sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt. Azli Mohd Noor berkata, kejadian pukul 4.45 pagi itu menyebabkan Mohd Shaiful Abdul Manaf, 42, dan Wan Khairul Anwar Wan Kamarunzaman, 32, maut di tempat kejadian.

Mohd Shaiful yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan difahamkan duduk di tempat penumpang hadapan manakala Wan Khairul Anwar dari Rantau Panjang, Kelantan duduk di bahagian penumpang belakang kereta Perodua Viva yang dipandu rakan mereka.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur dan kemalangan dipercayai berlaku kerana pemandu kereta terlelap semasa memandu.

“Ia menyebabkan kereta itu merempuh sebuah lori tiga tan yang membawa pakaian terpakai menyebabkan kereta itu remuk keseluruhannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azli berkata, pemandu kereta dan lori serta kelindan lori yang kesemuanya berasal dari Kelantan bagaimanapun tidak cedera dalam kemalangan itu.

Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...