Pemandu Teksi Terus Dirundung Malang!

KUALA LUMPUR – Lagi berita kurang menyenangkan buat pemandu teksi di seluruh negara!

Grab Malaysia dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah menyatakan sokongan beliau kepada perkhidmatan Grab di Malaysia.

Pengurus Grab Malaysia, Sean Goh memaklumkan Siew Fook yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP menyatakan sokongan kepada Grab dalam satu pertemuan baru-baru ini.

“Menteri Pengangkutan amat prihatin dalam hal ini dan menitikberatkan kepentingan untuk memastikan pendapatan dan kesejahteraan komuniti Grab terjamin.

“Kami akan terus mengkaji dan menambahbaik perubahan peraturan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan beban pemandu dari segi latihan (termasuk yuran) dan juga beban pemeriksaan kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkembangan itu berkemungkinan menjadikan pemandu teksi antara mereka yang paling menyesal kerana menyokong dan berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Sebelum PRU-14, golongan pemandu teksi ditaburkan dengan pelbagai janji manis oleh pemimpin PH untuk meningkatkan pendapatan mereka termasuk dengan mengkaji semula perkhidmatan e-hailing yang dianggap menjejaskan periuk nasi pemandu teksi.

Tuntutan pemandu teksi keatas janji-janji kerajaan Pakatan Harapan selepas PRU-14 terus menjadi polemik besar sehingga hari ini.

Semalam, Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Persim) mendakwa Siew Fook menipu kononnya beliau pernah mengadakan perbincangan dengan persatuan itu sebelum mengumumkan penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing.

Timbalan Pengerusi Persim, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, pembohongan Anthony Loke itu merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan bakal menimbulkan kemarahan persatuan-persatuan teksi lain terhadap Persim.

“Persim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Anthony Loke kononnya Kementerian Pengangkutan ada mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak kami sebelum mengumumkan penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing dalam masa satu tahun,” tegasnya. – Mynewshub.tv