Teksi Tertipu: Anthony Loke Jadi Kambing Hitam?

KUALA LUMPUR – Mungkinkah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bakal dijadikan kambing hitam dalam isu kira-kira 180,000 pemandu teksi di seluruh negara tertipu dengan janji-janji manis pembangkang semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu?

Ia berikutan pemimpin Gabungan Teksi Se’Malaysia, Kamarundin Mohd. Hussain yang bertanggungjawab mendorong pemandu teksi Malaysia supaya membantu pembangkang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mendakwa Anthony Loke yang bersalah dalam isu tersebut.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini malah mendakwa pertubuhan teksi di seluruh negara tidak pernah mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan kerana Mahathir didakwa tidak bersalah dalam isu berkenaan.

“Saya Kamarundin Mohd. Hussain Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Persim) selaku Yang Dipertua Gabungan Teksi Se’Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dengan ini menafikan pertubuhan teksi dalam negara berkehendak Perdana Menteri meletakkan jawatan.

“Kami adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang pertama melahirkan kesediaan kami menyokong PH sewaktu zaman kerajaan Barisan Nasional (BN). Satu Malaysia sudah dengar dan tahu individu yang sepatutnya dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan adalah Anthony Loke,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kamarundin seterusnya menegaskan, penjelasan Perdana Menteri pada majlis berdailog bersama pemandu teksi di Langkawi, Kedah berhubung isu Grab dan Teksi baru-baru ini membuktikan Anthony Loke tidak menghormati teguran yang berkali-kali telah dibuat oleh Mahathir.

Justeru, beliau mendakwa kononnya adalah sesuatu yang tidak masuk akal jika pemandu teksi di seluruh Malaysia mahu menuntut Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Seharusnya individu yang perlu meletak jawatan adalah Anthony Loke dan bukan Perdana Menteri. Negara masih memerlukan Perdana Menteri memulihkan Negara.

“Sekalipun esok kami akan mengadakan satu Perhimpunan Aman di Padang Merbok Kuala Lumpur, kami tidak menuntut Perdana Menteri meletak jawatan, yang kami mahu Anthony Loke disingkirkan.

“Beliau gagal menyelesaikan isu teksi, beliau juga bertanggungjawab diatas apa yang berlaku kepada Perdana Menteri di Langkawi, kerana beliau juga masyarakat mengecam industri kami,” dakwanya.

Mahathir pada majlis bersama pemandu teksi di Langkawi beberapa hari lalu mengumumkan beliau bersedia meletak jawatannya gara-gara merajuk dengan tindakan sebilangan pemandu teksi meninggalkan sesi dialog bersama beliau.

Pemandu teksi terbabit dipercayai bertindak demikian kerana kecewa dengan penjelasan Mahathir mengenai isu pemandu teksi terjejas teruk akibat Grab selain berasa tertipu dengan janji manis PH pada PRU14.

Mahathir pada kempen pertamanya selepas disahkan sebagai calon PH bagi kerusi Parlimen Langkawi semasa PRU14 pernah berjanji akan mengkaji aplikasi e-hailing bagi membela nasib pemandu teksi di seluruh negara.

“Masalah Grab ini bukan hanya Langkawi tapi seluruh Malaysia. Grab merugikan pemandu teksi biasa, perkara ini akan dikaji supaya servis teksi yang adil kepada semua pihak, ini akan kita lakukan apabila kita ambil alih kerajaan nanti,” kata Mahathir pada 28 April 2018.

Berikutan itu, pemandu teksi di seluruh negara gigih berkempen untuk menumbangkan kerajaan BN bagi memenangkan PH pada PRU14.

Bagaimanapun, selepas menang PRU14, kerajaan PH mengumumkan perkhidmatan Grab dibenarkan terus beroperasi, malah syarikat e-hailing Grab bakal diiktiraf menggantikan perkhidmatan bas perantara di stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT). – MYNEWSHUB.TV