Pemandu Teksi Terlibat Kumpulan Daesh Dijel 10 Tahun

KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang pemandu teksi yang melibatkan diri dalam kumpulan pengganas Daesh tiga tahun lalu memakan diri apabila dia dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.

Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Mizan Panijan, 40, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah diakhir kes pembelaan terhadap tiga pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama, enam tahun bagi pertuduhan kedua dan tiga tahun bagi pertuduhan ketiga selain menetapkan kesemua hukuman itu berjalan secara serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 15 Julai 2016.

Dalam penghakimannya sebelum hukuman dijatuhkan, Mohd. Sofian berkata, terdapat bukti secara jelas tertuduh terlibat dalam kumpulan Daesh seperti perbualan dalam telegram seterusnya kemasukan wang serta gambar-gambar yang berada dalam telefon bimbitnya.

“Mahkamah juga mendapati pembelaan yang dibuat tertuduh semasa perbicaraan bela diri adalah penafian semata-mata,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama Nor Mizan didakwa te­lah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas melalui aplikasi telegram kumpulan” Gagak Hitam” menggunakan nama ‘mrzak786′ di dalam telefin bimbit jenis iPhone.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves di sini pada 30 Mac dan 2 April 2016.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan penjara seumur hidup atau sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas harta digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa te­lah mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas yang bernama Muhammad Wanddy Mohamed Jedi, 26, dengan cara memasukkan RM70 ke akaun Maybank Bhd., milik Mohd. Ha­niffa Syedul Akbar dan mema­sukkan RM20 ke akaun Maybank milik Bukhori Che Noor bagi manfaat pengganas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah mesin deposit tunai (CDM) Maybank di aras bawah, Menara Hup Seng, Jalan P. Ramlee, di sini antara 1 Februari dan 4 April 2016.

Pertuduhan kedua itu dikemukakan mengikut Seksyen 130Q(1) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana harta tersebut.

Bagi pertuduhan ketiga yang juga pertuduhan pindaan, dia didakwa memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan Daesh iaitu 21 video dan 10 gambar di dalam telefon bimbit yang sama.

Kesalahan itu dilakukan di pangsapuri sama pukul 7. 20 malam pada 15 Julai 2016 mengikut Seksyen 130JB(1)(a) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Loading...