Pemandu Mabuk Mengaku Tak Bersalah Langgar Penjaja

AHLI perniagaan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, hari ini, atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan penjaja di pasar malam pekan Bukit Sentosa, 22 Mei lalu.

Kang Ming Han, 32, yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Tertuduh yang memakai baju kemeja T berwarna merah dan berseluar jeans pendek dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor jam 9.40 pagi tadi.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh apabila mengeluarkan kata-kata kesat pada anggota polis di Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor dan didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh terhadap penjaja iaitu Norisham Abdul Rashid, 42, Mahadin Senan, 41, dan Baharum Ab Manaf, 61, dengan cara melanggar mangsa menggunakan Toyota Hilux.

Tertuduh didakwa melakukan pertuduhan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan di Tapak Pasar Ramadan di Pekan Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada jam 6.35 petang.

Jika disabitkan kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mohamad Amin mencadangkan mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Bagaimanapun peguam tertuduh Muhammad Adhwa Azfar merayu mahkamah supaya membenarkan jaminan rendah dan munasabah.

“Selepas kejadian, Orang Kena Tuduh (OKT) datang sendiri ke balai polis dan serah diri untuk membantu siasatan. Ini adalah kes jenayah pertama tertuduh, maka saya harap mahkamah mengenakan jaminan serendah RM3,000 dengan seorang penjamin,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Zuhaini menjelaskan jaminan RM30,000 dicadangkan kerana mengambil kira insiden rempuhan oleh tertuduh membabitkan orang ramai di pasar semasa Ramadan.

Nurul Mardhiah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 1 Julai ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan kes.

Sementara itu, wanita Myanmar dipercayai teman wanita tertuduh, Aye Myat Mon, 25, turut didakwa di mahkamah sama kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk masuk ke negara ini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 (Akta A1154) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Jurubahasa terpaksa membacakan pertuduhan beberapa kali terhadap wanita itu sebelum dia mengangguk sebagai pengakuan bersalah atas tuduhan itu.

Namun selepas dijelaskan hukuman penjara maksimum lima tahun, wanita itu mula panik dan menangis di hadapan hakim merayu supaya jangan memenjarakannya.

“Saya faham (kesalahan dan hukuman)… jangan penjara lima tahun, tolong,” katanya sebelum dibawa keluar dari bilik mahkamah disusuli penangguhan pertuduhan seketika.

Selepas pertuduhan disambung dan kesalahannya dibacakan semula, dia mengangguk sebagai memahami dan mengaku bersalah.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dari tarikh dia ditangkap dan mengarahkan rayuannya supaya dihantar pulang ke negara asal dibuat kepada Ketua Pengarah Imigresen. – myMetro Online

Loading...