Pemandu Mabuk: Kerajaan Usul Pinda Had Kandungan Alkohol

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengusulkan had kandungan alkohol dalam darah, air kencing dan nafas yang dibenarkan menurut Akta Pengangkutan Jalan bagi pemanduan di bawah alkohol diturunkan selaras dengan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata had baharu yang akan dicadangkan ialah 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas; 50 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah; atau 67 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing.

Untuk rekod, had kandungan alkohol yang diguna pakai di negara ini sekarang ialah 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas, 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah atau 107 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing.

Wee juga memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa pindaan Akta Pengangkutan Jalan membabitkan Seksyen 41 hingga 45 yang berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu untuk membolehkan hukuman lebih berat dikenakan, akan dibentang pada sesi yang sedang berlangsung.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) yang ingin tahu jika kerajaan ada perancangan untuk meminda akta sedia ada berhubung isu pemandu yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah. 

Mengulas lanjut, Wee berkata kementeriannya juga telah melaksanakan soal selidik dalam talian bermula 21 Mei hingga 4 Jun lepas berhubung isu tersebut, melibatkan 345,021 responden.

Menurutnya hampir 97 peratus responden memberikan maklum balas positif dan bersetuju bahawa kuantum hukuman sedia ada tidak memadai.

“Sebagai contoh, seramai 324,489 iaitu 94 peratus responden bersetuju agar kadar hukuman penjara, denda dan tempoh hilang kelayakan lesen memandu ditingkatkan ke atas pemandu yang disabitkan kesalahan memandu (bawah pengaruh alkohol),” katanya.

Pada masa sama, Wee berkata kerajaan tidak boleh memperkenalkan hukuman mati terhadap pemandu mabuk seperti yang dicadangkan oleh segelintir pihak.

Sekiranya Kanun Keseksaan digunakan untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas pemandu mabuk, maka perlu dibuktikan bahawa individu itu mempunyai niat untuk membunuh melampaui keraguan munasabah, jelasnya.

“Memang kita geram, tetapi kita tidak boleh ambil tindakan secara melulu supaya pemandu mabuk ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya. – BERNAMA

Loading...