Pemandu Langgar Peserta KL Marathon Ditahan

KUALA LUMPUR – Pemandu wanita yang melanggar dua peserta Larian KL Marathon di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ditahan polis semalam.

Suspek berusia 25 tahun yang juga penganggur itu ditahan pada pukul 11.10 malam di sekitar Jalan Taman Emas, Kepong.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, tangkapan dibuat selepas sebuah syarikat sewa kereta membuat laporan bahawa kereta jenis Honda City warna putih itu disewakan kepada suspek.

“Hasil pemeriksaan pihak polis menemui enam pil erimin 5 dalam milikan suspek selain dia positif dadah.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai satu saman lampau membabitkan kemalangan jalanraya yang masih belum dijelaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sampel darah suspek diambil untuk di hantar ke Jabatan Komia bagi proses analisis ujian darah.

“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Semalam dua lelaki cedera dilanggar sebuah kereta ketika menyertai acara Larian KL Marathon di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2). 

Loading...