Pemandu Jadi Petugas Barisan Hadapan Pertama Terima Vaksin

KUALA LUMPUR – Petugas barisan hadapan, Clement Marai Francis, menjadi rakyat Malaysia kedua menerima dos suntikan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11, Putrajaya, hari ini.

Bertugas sebagai pemandu di Pusat Kesihatan Putrajaya, beliau menjadi petugas barisan hadapan pertama disuntik pada jam 2.46 petang, selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerima suntikannya.

Ia disusuli Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang menerima suntikan dos pertama vaksin vaksin Pfizer-BioNTech pada jam 2.51 petang.

Setiap penerima vaksin perlu merehatkan diri sekurang-kurangnya setengah jam sebaik disuntik bagi tujuan pemantauan.

Selain Clement, tiga lagi petugas barisan hadapan yang menerima suntikan hari ini ialah Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Dr Tan Yee Ling; Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin dan jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Sheilla Mellissa Sikin.

Perdana Menteri disuntik oleh Ketua Jururawat Kesihatan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Lina Ibrahim, manakala Dr Noor Hisham oleh Jururawat Kesihatan Klinik Kesihatan Presint 9 Putrajaya, Mazirah Mokhtar. – BH Online