Pemandu Gojek Ancam Kepung Kedutaan Malaysia Di Jakarta

32

JAKARTA – Pemandu Gojek mengancam mengadakan demontrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, bagi membantah dakwaan penghinaan terhadap profesion itu oleh pengasas dan penasihat sebuah syarikat teksi Malaysia.

Menurut beberapa laporan media tempatan, yang memetik kenyataan Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono sebagai berkata, mereka akan mengemukakan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.

Menurut Igun, jika pihak terbabit tidak membuat permohonan maaf terbuka, mereka merancang untuk mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 3 Sept ini.

Berdasarkan video yang viral di Indonesia, pengasas dan penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail membuat kenyataan yang dianggap menghina pemandu Gojek dan negara Indonesia.

“Ini negara miskin, kita negara kaya. Kalau Indonesia anak muda bagus, dia tak keluar, keluar negara untuk cari kerja. Gojek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta,” menurut petikan video itu.

Gojek yang diasaskan oleh Nadiem Makarim, 35, merupakan syarikat rangkaian pengangkutan dan start up yang menjadi kebanggaan Indonesia. 

Bagi tiga bulan pertama 2019, aplikasi Gojek dimuat turun lebih daripada 142 juta kali, dengan lebih daripada dua juta rakan kongsi pemandu.


Pada 2018, Gojek juga mencatatkan nilai transaksi kasar (GTV) lebih AS$ 9 billion di semua negara operasinya dan menjadikannya kumpulan teknologi pengguna terbesar di Asia Tenggara berdasarkan GTV.

Gojek kini juga beroperasi di Singapura, Filipina, Thailand (dikenali sebagai GET) dan Vietnam (dikenali sebagai GoViet).

Baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Rahman mencadang memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai ojek, yang memicu pelbagai polemik.

Ditubuhkan pada 2010, Gojek menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti GoRide (pengkhidmatan pengangkutan motosikal), GoCar (pengangkutan kereta seperti GrabCar), GoFood (penghantaran makanan), GoBlueBird (perkhidmatan teksi), GoBills ( pembayaran bill semasa), GoMart (perkhidmatan pembelian barangan di supermarket), GoLaundry (perkhidmatan dobi), GoAuto (perkhidmatan membaiki kenderaan) dan banyak lagi.