Pemandu Ford Ranger Direman 4 Hari

KLANG – Seorang penjual ikan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kemalangan maut di Jalan Kebun, Klang, semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret 1, S Nisha di Mahkamah Klang hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 42 APJ 1987 serta Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihaknya sedang menunggu laporan ujian dadah dan alkohol dari Jabatan Kimia.

“Jika keputusan positif sama ada dadah atau alkohol, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 44 APJ 1987 iaitu memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga mengingatkan orang ramai agar usah membuat sebarang spekulasi sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.

Terdahulu, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah trak pikap jenis Ford Ranger dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, yang menaiki motosikal jenis Yamaha Nouvo LC disahkan maut di lokasi kejadian manakala dua lagi rakannya yang menunggang sebuah motosikal jenis EX5 mengalami kecederaan parah. – Sinar Harian