Pemandu Bas Positif Dadah, Direman 2 Hari

BALIK PULAU – Pemandu bas yang merempuh motosikal hingga menyebabkan seorang pelajar maut, semalam direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ahmad Tajuddin terhadap lelaki berusia 49 tahun terbabit di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata hasil ujian saringan awal juga mendapati pemandu itu positif methamphetamine.

Pemeriksaan juga mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, seorang pelajar lelaki maut selepas dirempuh bas di Jalan Dato Ismail Hasyim di Bayan Lepas.

Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara yang juga bekerja sambilan di Pizza Hut itu dikatakan dalam perjalanan menghantar pesanan kepada pelanggan.

Jenazah Muhammad Saifullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Mustaghfirin, Sungai Tiram, Bayan Lepas, jam 11 pagi tadi.

Loading...