Pemain Prestasi Hambar Boleh Tinggalkan BAM

KUALA LUMPUR – Pemain negara yang tidak berminat dan enggan berusaha keras boleh membuat keputusan keluar daripada skuad kebangsaan, kata ​​​​​​​Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau turut memberi amaran kepada pemain bahawa BAM akan melaksanakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memantau prestasi mereka dan hanya pemain menunjukkan kesungguhan dan dahagakan kejayaan akan dikekalkan dalam skuad negara menerusi struktur baharu badan induk itu yang mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

“Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Datuk Ng Chin Chai bersetuju dengan saya hanya mereka berminat berada dalam BAM dan sanggup bekerja keras, boleh dikekalkan. Jika mereka mahu keluar atau bersikap ambil mudah, mereka boleh meninggalkan (BAM),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Liga Purple 2018/19 di sini hari ini.

Mohamad Norza berkata sebagai sebahagian daripada struktur baharu itu, BAM akan memberi penekanan terhadap bakat muda berusia 23 tahun ke bawah, selain mengecilkan jumlah pemain di bawah naungan badan induk itu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap peruntukan daripada kerajaan.

“Bagi pemain bawah 23 tahun, kita boleh membuat pelaburan untuk masa depan, tetapi anda tidak boleh melabur dengan jumlah wang yang sama kepada seseorang (pemain senior) yang tidak memberi 200 peratus kepada struktur baharu skuad negara itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemerosotan prestasi pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Mohamad Norza berkata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu akan menerima akibatnya jika gandingan itu terus tumpas kepada pasangan ranking di bawah mereka.

“Dalam kriteria diberikan kepada pasangan itu, mereka tidak boleh kalah kepada pasangan ranking lebih bawah daripada mereka untuk tiga kali berturut-turut. Bukan memberi tekanan, tetapi mereka sudah ada dua ‘bendera merah’, ada satu lagi peluang atau berdepan tindakan,” tegasnya.

Pasangan beregu itu yang kini berada di ranking ke-29 dunia, kedudukan di bawah pasangan muda Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (ke-23), tewas kepada gandingan Indonesia Ricky Karandasuwardi-Angga Pratama; 14-21, 21-17 dan 19-21 pada pusingan kedua Terbuka China minggu lepas, dan B Sumeeth Reddy-Manu Attri dari India 21-15, 21-23 dan 19-21 di pusingan pertama Terbuka Jepun, awal bulan ini.

Pada Sukan Asia 2018 di Indonesia baru-baru ini, pasangan itu yang menjadi sandaran pingat tumpas kepada gandingan tuan rumah, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon; 20-22, 19-21 di suku akhir, sekali gus menyaksikan skuad badminton negara gagal membawa pulang sebarang pingat buat pertama kali dalam tempoh 32 tahun sejak Sukan Asia 1986 di Seoul. – BERNAMA

Loading...