Pemain Bass Seventeen Tinggalkan Isteri Hamil, Anak Kecil

JAKARTA – Majlis pengebumian diadakan untuk anggota kumpulan pemuzik Indonesia, Seventeen yang maut apabila tsunami membadai pentas ketika mereka sedang…

JAKARTA – Majlis pengebumian diadakan untuk anggota kumpulan pemuzik Indonesia, Seventeen yang maut apabila tsunami membadai pentas ketika mereka sedang membuat konsert terbuka malam Sabtu lalu.

Saudara mara Muhammad Awal Purbani, pemain bass Seventeen, menangis dan berpelukan antara satu sama lain di ibu kota Yogyakarta termasuk isterinya yang hamil tujuh bulan dan anak perempuannya berusia tiga tahun.

Pengurus kumpulan itu, Oki Wijaya, pemain gitar, Herman Sikumbang dan anggota kru, Rukmana Rustam juga dikebumikan hari ini dalam upacara berbeza di bandar kelahiran mereka.

Media tempatan melaporkan, pemain dram kumpulan yang hilang, Wisnu Andi Darmawan, ditemui maut hari ini.

Penyanyi utama Seventeen, Riefian Fajarsyah, yang mana isterinya, Dylan Sahara, masih hilang dua hari selepas bencana, menghantar gambar kumpulan itu serta mengatakan Andi meninggal dunia.

Ia meninggalkan Riefian atau Ifan, satu-satunya anggota Seventeen masih hidup, yang mengeluarkan enam album serta memiliki pangkalan peminat paling ramai di Indonesia.

“Selamat jalan pemain dram kesayangan Andi Seventeen, Allah menyayangimu. Semoga tenang sahabat. Doa tidak putus untuknya Bani (bass) dan Eman (pemain gitar).

“Ia adalah satu penghormatan dan kebanggaan berkongsi pentas bersama anda. Kita bukan hanya rakan kerja, kita adalah keluarga dalam hidup dan mati,” tulisnya.

Riefian yang jelas tertekan memaklumkan penyiar tempatan NET TV, beliau berdoa supaya isterinya ditemui hidup-hidup.

“Tolong doakan supaya Allah dapat memberi kami keajaiban,” katanya.

Semalam, penyanyi utama itu menghantar gambar dirinya dan isterinya berkucupan di Paris dengan berlatar belakangkan Menara Eiffel.

“Hari ini hari ulang tahun kamu, aku mahu mengucapkan selamat hari lahir secara peribadi. Pulanglah segera sayangku,” tulisnya. –AFP

Loading...