Peluang Beli Syarikat Seperti Eagle High Sukar Diperoleh – Najib

PETALING JAYA – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjawab gesaan A Kadir Jasin supaya ahli perniagaan Indonesia, Peter Sondakh membeli balik saham dalam sebuah syarikat yang dijual kepada Felda bagi membantu agensi kerajaan itu mendapatkan semula wangnya.

Semalam Kadir berkata, kerajaan harus mengaktifkan “put option” yang merupakan sebahagian daripada perjanjian yang dibuat sewaktu Sondakh menjual 37 peratus kepentingan dalam Eagle High Plantations (EHP) kepada Felda Ventures Holdings Bhd pada 2015.

Kadir, yang merupakan penasihat media Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad berkata, EHP gagal memperoleh pensijilan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) untuk semua ladang miliknya.

Dalam satu hantaran di Facebook, Najib berkata, put option itu yang membolehkan Felda menjual balik 37 peratus saham yang dipegangnya dalam EHP pada harga belian asal dan caj faedah sebanyak enam peratus setahun ditanggung oleh EHP boleh diaktifkan lima tahun dari tarikh saham berkenaan dibeli.

“Saya difahamkan mereka (EHP) juga sedang berusaha atau sudah mendapat pengisytiharan RSPO untuk ladang lain.”

Beliau berkata, jika keperluan pengisytiharan RSPO itu terlalu penting atau mendesak, maka ia merupakan satu perkara lain.

Bagaimanapun kata Najib, Sondakh, yang dikatakan rapat dengan beliau, merupakan antara individu paling kaya di Indonesia dan mempunyai kemampuan untuk menunaikan put option tersebut sekiranya Felda mahu membatalkan pembelian berkenaan.

“Persoalan paling asas yang perlu ditanya ialah, adakah terdapat banyak peluang untuk membeli 37 peratus kepentingan dalam ladang kelapa sawit yang pokoknya masih muda dengan keluasan 340,000 ekar pada harga RM2.4 bilion sahaja, dan siap dengan put option yang menjamin pembeli akan untung selepas lima tahun?”

Najib sebelum ini berkata, jika harga minyak sawit pulih, langkah Felda membeli kepentingan dalam EHP akan membawa keuntungan besar kepadanya.

Katanya, sekiranya put option itu diaktifkan. Felda masih mendapat keuntungan kerana ia akan menjual sahamnya pada harga belian asal dengan kadar faedah enam peratus setahun. – FMT

Loading...