Pelayan Bar Dijel 5 Tahun, Disebat Kerana Rompak

KUALA LUMPUR – Seorang pelayan bar hari ini dipenjara lima tahun dengan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merompak seorang suri rumah di Sentul, bulan lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Zubaidi Abdul Razak, 42, yang mengaku merompak R. Uma Mageswary, 20, dengan mengambil sebuah telefon bimbit miliknya berhampiran Flat PPR Sri Aman, Sentul di sini pada 10 malam, 27 November lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Sesyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada hari sama dengan hari kejadian.

Zubaidi, yang belum berkahwin kelihatan tenang tetapi dilihat menitiskan air mata sebaik sahaja hukuman dijatuhkan.

Terdahulu, peguam Izzat Amir Saharudin yang mewakili Zubaidi memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan dia menjaga kedua-dua ibu bapa yang sudah berusia dan perlu bekerja untuk menyara mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin memohon hukuman setimpal dengan ambil kira kesalahan serius dan faktor kepentingan awam kerana kejadian itu berlaku pada waktu malam dan mangsa adalah perempuan.

“Hukuman setimpal juga perlu untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Menurut fakta kes, tertuduh yang menaiki motosikal telah ditangkap oleh sepasukan polis setelah terbabas di Jalan Tun Razak ketika cuba melarikan diri dari dikejar orang ramai yang menyedari kejadian itu. – BERNAMA

Loading...